Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
03.03.08

Safee minta maaf

Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)

PENYERANG utama Selangor, Mohd. Safee Sali (gambar) meminta maaf kepada seluruh peminat setia Merah Kuning kerana tindakan balasnya terhadap pertahanan Terengganu, Fabio Flor menyebabkan dia dilayangkan kad merah pada perlawanan Liga Super malam kelmarin.

Terdahulu, aksi Selangor dan Terengganu yang berkesudahan dengan kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan dimulakan lewat 75 minit gara-gara masalah lampu limpah di Stadium Shah Alam.

Mengulas mengenai insiden dilayangkan kad merah, Safee, 24, berkata, dia tidak menyangka tindakan balasnya terhadap Flor itu menyebabkannya terus diarah keluar padang.

"Pada pandangan peribadi, saya rasa agak tak wajar dilayangkan kad merah terus, patutnya cukup sekadar kad kuning. Lagipun dia (Flor) yang mulakan dulu.

"Tapi, saya mengaku memang salah saya juga kerana membalas. Jadi, saya minta maaf kepada semua penyokong setia Selangor. Kerana saya, Selangor terpaksa beraksi 10 pemain," kata Safee ketika dihubungi KOSMO! semalam.

Dalam insiden pada minit ke-17 itu, Safee dilayangkan kad merah setelah dia dilihat bertindak menumbuk badan Flor.

"Memang kecewa sangat kerana baki perlawanan itu hanya dapat saya tengok dari tempat duduk penonton. Terima kasih juga kepada rakan-rakan sepasukan kerana mereka tetap beraksi cemerlang sehingga wisel penamat," jelasnya.

Ekoran kad merah yang diterimanya, Safee bakal terlepas dua perlawanan iaitu menentang Brunei DPMM dalam aksi Piala FA di Bandar Seri Begawan malam esok dan aksi Liga Super menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) Selasa depan.

"Biarpun tidak beraksi dua perlawanan ini, saya akan tetap berlatih bersungguh-sungguh untuk memberikan yang terbaik apabila saya kembali beraksi menentang Pahang di Shah Alam pada 15 Mac depan," ujarnya.