Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
19.03.08

Satim, Faizal, Subahan ‘terpaksa’ undur diri

Oleh: Mohd Fadzrie Hazis (BERITA HARIAN)

PENGURUS pasukan Selangor, Datuk Satim Diman dan dua penolongnya, akhirnya memilih untuk melepaskan jawatan mereka bagi memberi laluan kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selaku Presiden FAS untuk melantik pegawai pengurusan baru.

Tindakan Satim dan penolong pengurus 1 Faizal Abdullah dan penolong pengurus 2, Datuk Subahan Kamal, bukan sesuatu yang memeranjatkan selepas kerajaan negeri itu bertukar tangan selepas pilihan raya umum lalu.

Setiausaha Agung FAS, Hamidin Mohd Amin kini memangku tugas pengurus pasukan sehingga pucuk pimpinan baru FAS membuat pelantikan pengurusan baru pasukan.

"Seperti yang termaktub dalam perlembagaan FAS, Menteri Besar secara automatik dilantik sebagai Presiden FAS dan kami mengambil keputusan untuk meletak jawatan bagi mengelakkan sebarang kesulitan daripada berlaku.

"Namun, saya bersama-sama dengan Datuk Satim akan tetap mengekalkan kedudukan kami sebagai naib presiden dan Datuk Subahan juga akan mengekalkan kedudukannya sebagai Ahli Majlis FAS.

"Hamidin akan memangku segala hal pengurusan buat sementara waktu, dia juga mempunyai pengalaman sebagai pengurus dan sebagai kakitangan tetap FAS, saya yakin tiada masalah baginya untuk menjalankan tugas sebagai pemangku pengurus pasukan, " kata Faizal pada sidang media di pejabat FAS semalam.

Faizal mengakui tindakan yang diambil untuk meletak jawatan adalah kerana kaitannya bersama parti komponen Barisan Nasional, UMNO yang kini menjadi pembangkang di Selangor.

"Seperti Datuk Satim dan Datuk Subahan, saya juga adalah ahli Umno dan juga Ketua Pemuda UMNO negeri. Oleh itu, kami rela memberi laluan kepada pengurusan baru dan mengelak sebarang kesulitan daripada berlaku.

"Namun, sekiranya pihak pengurusan mahukan kami terus memimpin pasukan, kami akan pertimbangkan demi bola sepak," kata Faizal.

Hamidin ketika ditemui berkata dia akan mengadakan pertemuan dengan Khalid dalam masa seminggu ini, bagi membincangkan perubahan dalam pengurusan FAS dan akan mengumumkan hasil pertemuan itu kepada media nanti.

Sementara itu, peletakan jawatan tiga orang kuat FAS itu mengejutkan pemain-pemain yang turut dimaklumkan semalam. Namun, kapten pasukan, Shukor Adan menegaskan mereka adalah pemain profesional dan perkembangan terbaru ini tidak harus menjejaskan komitmen terhadap pasukan.

"Sebagai pemain, kami mempunyai tanggungjawab terhadap Selangor dan perubahan pengurusan tidak harus menjejaskan pemain. Kami bukan ahli politik, bola sepak adalah periuk nasi kami dan kerana itu kami harus meneruskan usaha memenangi sekurang-kurangnya satu piala musim ini, " kata Shukor.