19.03.08

Satim, Subahan letak jawatan

Oleh: Abdul Hafiz Ahmad (UTUSAN MALAYSIA)

PETALING JAYA – Selangor menjadi negeri pertama yang berubah akibat ‘tsunami pembangkang’ dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12, minggu lalu apabila pengurus pasukan bola sepaknya, Datuk Satim Diman dan dua penolongnya mengumumkan peletakan jawatan berkuat kuasa serta-merta, semalam.

Pengunduran Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Seri Serdang yang juga orang kuat UMNO Selangor itu bersama Ketua Biro Pengaduan Awam UMNO, Datuk Subahan Kamal dan Faisal Abdullah dibuat atas alasan mahu memberikan peluang dan laluan kepada kerajaan negeri di bawah Parti Keadilan Rakyat (PKR) melantik muka baru.

Kata Faizal, keputusan itu juga diambil selepas mengadakan perbincangan sesama mereka tanpa satu mesyuarat khas exco FAS.

Pertemuan itu turut bersetuju untuk melantik setiausaha agung persatuan, Hamidin Amin sebagai pemangku pengurus pasukan.

"Kami juga bersetuju untuk mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Selangor baru, Tan Sri Khalid Ibrahim (merangkap Presiden FAS mengikut perlembagaan persatuan) pada minggu depan bagi memaklumkannya," katanya yang menyandang jawatan itu sejak 2005 dalam sidang akhbar di Wisma FAS, Kelana Jaya.

Bagaimanapun, kata Faizal, beliau dan Satim akan terus menyandang jawatan sebagai Naib Presiden FAS sehingga berakhirnya penggal perkhidmatan mereka pada 2010 kerana ia dilakukan menerusi proses pemilihan exco pada 2006, begitu juga dengan Subahan selaku Ahli Majlis persatuan.

"Peletakan jawatan ini bukan bererti kami berasa sukar untuk bekerjasama dengan kerajaan pimpinan PKR di Selangor, malah sekiranya Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid mahukan kami meneruskan tugas ini, kami mungkin bersedia menimbangkannya semula," katanya.

Sebagai rekod, Satim mula menjadi pengurus pasukan pada 2004 dengan mencatat memori kejayaan termanis apabila Merah Kuning bergelar juara tiga piala - Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia sepanjang 2005 manakala Subahan menyertai pasukan sejak musim Liga Malaysia 2006-2007.