01.03.08
Selangor 0-0 Terengganu
Oleh: misai11 (selangorfc.com)
SELANGOR dan Terengganu sekadar mengutip satu mata apabila kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan dalam perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Dengan keputusan seri itu, Selangor turun ke tangga ketiga setelah dipintas Perak yang mencatat kemenangan 2-0 ke atas Perlis.
Perlawanan hanya dimulakan pada pukul 10 malam, iaitu kira-kira 75 minit lewat daripada jadual sebenar gara-gara masalah bekalan elektrik yang berlaku di stadium.
Namun ia tidak menjejaskan tempo perlawanan apabila kedua-dua pasukan tetap mempamerkan persembahan bertenaga saling berbalas serangan sebaik wisel permulaan ditiup pengadil Lee Chong Seng.
Kegharaihan Selangor mengasak kubu Terengganu bagaimanapun terbantut seketika pada minit ke-17 apabila penyerangnya, Safee Sali dilayangkan kad merah kerana bertindak balas ke atas pertahanan Terengganu, Fabio Flor.
Kekurangan seorang pemain tidak menjejaskan rentak serangan Selangor dan menerusi satu serangan balas pada minit ke-44, lambungan pemain bek kanan, Amri Yahyah sedikit tinggi biarpun hanya berhadapan satu lawan satu dengan penjaga gol Terengganu, Sharbini Alwee.
Babak kedua bersambung, giliran Terengganu pula menerima padah apabila pemainnya, Mohd. Norhisham Hassan dilayangkan kad merah kerana mengasari pemain Selangor pada minit ke-60.
Namun, kedua-dua pasukan masih gagal memecah kebuntuan sehingga wisel penamat untuk kedudukan muktamad seri 0-0.
SELANGOR:
21-MOHD. SUFFIAN ABDUL RAHMAN, 17-AMRI YAHYAH, 4-EVANS CHISULO, 26-NASRIQ BAHAROM, 15-P.GUNALAN, 8-ELIE AIBOY, 25-SHUKOR ADAN, 23-INDRA PUTRA MAHAYUDDIN (3-RAZMAN ROSLAN), 11-R.SURENDRAN (24-AMIRUL HADI ZAINAL), 9-FRANK SEATOR (14-AKMAL RIZAL RAKHLI), 10-SAFEE SALI