11.03.08
Selangor intai peluang pintas Perak
Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)
SELANGOR berpeluang merampas kembali kedudukan tangga kedua Liga Super daripada Perak dengan syarat Red Giants perlu menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Selayang, malam ini.
Setelah mengumpul 33 mata untuk berada di tangga ketiga setakat ini, Selangor mampu memintas Perak yang mengutip 34 mata memandangkan skuad Seladang kini berada di Maldives untuk bertemu New Radiant dalam aksi sulung Piala AFC hari ini.
Jurulatih Selangor, Dollah Salleh berkata, dia mahu anak-anak buahnya memberikan sepenuh tumpuan pada aksi malam ini bagi mengambil kesempatan yang terhidang itu.
"Saya mahu mereka fokus pada perlawanan. Kita tak boleh lepaskan sebarang mata kepada PDRM kerana prestasi Selangor ketika ini sedang memuncak," katanya ketika ditemui KOSMO! di Padang SUK, Shah Alam, petang semalam.
Biarpun masih tidak dapat menurunkan Mohd. Safee Sali yang digantung satu lagi perlawanan, Dollah menaruh harapan yang tinggi kepada gandingan Frank Seator dan Akmal Rizal Rakhli untuk merobek gawang PDRM.
"Terkilan juga Safee terlepas aksi dua perlawanan ketika prestasinya tengah memuncak. Tapi, penggantinya, Akmal Rizal pun tiada kurang hebatnya kerana dia berjaya menjaringkan dua gol ketika bertemu DPMM Brunei sebelum ini," jelas Dollah.
Sementara itu, undian Piala FA semalam menyaksikan Selangor diundi untuk bertemu lawan sukar, Perak dalam pusingan kedua pada 21 dan 27 Mac depan.
"Perlawanan pertama kita akan berlangsung di Ipoh dan perlawanan kedua di Shah Alam. Saya rasa tak jadi masalah buat Selangor, cuma agak terlalu awal untuk kita bertemu Perak dalam pusingan kedua.
Dollah yang nampak tidak gusar mengenai undian bertemu Perak itu turut menyifatkan semua pasukan yang akan ditentang Selangor adalah sama sambil menganggap pasukan terbaik saja yang akan mara ke peringkat suku akhir.