24.03.08

Selangor kekal di tangga kedua

Oleh: SELANGORFC.COM

SELANGOR kekal berada di tangga kedua Liga Super selepas pasukan di tangga ketiga, Perak gagal mengutip sebarang mata apabila mereka dibelasah 1-5 oleh Kedah dalam aksi tunggal Liga Super di Stadium Darulaman, malam tadi.

Dengan keputusan itu, Perak terus menghuni tangga ketiga dengan 37 mata, dua mata di belakang Selangor (39 mata).

Namun, Kedah pula yang terus berjaya menjarakkan jurang mata apabila mereka kini mengumpul 44 mata, lima mata lebih daripada Selangor.

Satu-satunya cara untuk Selangor merapatkan jurang mata ialah dengan menewaskan Kedah apabila kedua-dua pasukan bertemu di Shah Alam, 5 April depan.

Perak pula dijangka akan terkeluar terus daripada perebutan kejuaraan Liga Super memandangkan mereka hanya mempunyai baki lima perlawanan sedangkan Kedah dan Selangor masih ada enam baki perlawanan.

Aksi Liga Super pada Ahad ini bakal menyaksikan Selangor bertemu Perlis di Kangar, Kedah menanti kunjungan Brunei DPMM di Alor Star manakala Perak bertandang ke Kuching bertemu Sarawak.