29.03.08
Selangor kembali tumpu Liga Super
Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)
SELANGOR layak ke suku akhir Piala FA selepas mengetepikan Perak dengan kemenangan agregat 6-5.
Namun, ketua jurulatih Selangor, Dollah Salleh memilih untuk melupakan seketika kemaraan barisannya itu biarpun mereka kini berpeluang mendakap piala tersebut buat kali kelima setelah memenanginya pada edisi 1991, 1997, 2001 dan 2005.
"Saya malas nak cerita pasal Piala FA terlebih dulu. Kita sekarang kena beri tumpuan pula untuk perlawanan bertemu Perlis di Kangar bagi saingan Liga Super, Ahad ini (malam esok).
"Ia lebih penting kerana dalam persaingan Liga Super, kita tak boleh ketinggalan walau satu mata pun untuk terus mengejar Kedah," katanya kelmarin.
Pada aksi kedua pusingan kedua Piala FA di Stadium Shah Alam malam kelmarin, Selangor mencipta kemenangan 2-1 ke atas Perak.
Perak terlebih dahulu di hadapan menerusi sepakan percuma Mario Esteban pada masa kecederaan babak pertama.
Bagaimanapun, penyerang Selangor, Frank Seator dan Mohd. Safee Sali memusnahkan harapan Perak apabila masing-masing meledak satu gol pada minit ke-65 dan 84.
Kehadiran Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ke stadium malam kelmarin sejak beliau menjadi Presiden FAS yang baru ternyata menyuntik semangat pemain Selangor.
"Pada masa rehat, Tan Sri (Abdul Khalid) ada turun ke bilik pesalinan memberi motivasi kepada pemain, beritahu pasal gaji dan lain-lain. Daripada itu, pemain rasa mereka masih terbela," tambah Dollah.
Dollah bagaimanapun sedikit terkilan apabila tidak dapat menurunkan Amri Yahyah bagi menghadapi Perlis selepas pemain itu digantung satu perlawanan kerana mengutip kad kuning ketiga ketika bertemu Pahang 15 Mac lalu.
"Malam ini (kelmarin) saya rasa Amri menjadi pencipta untuk Selangor kerana kedua-dua gol berpunca daripada gerakannya.
"Secara keseluruhan, saya bangga dengan aksi semua pemain terutama pada separuh masa kedua. Babak pertama kita nampak sedikit tertekan," jelas Dollah.