Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
01.03.08

Selangor tetap hormati Terengganu

Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)

AWAS amukan Terengganu.

Demikian peringatan jurulatih Selangor, Dollah Salleh kepada anak buahnya menjelang pertemuan dengan gergasi Pantai Timur itu pada saingan bola sepak Liga Super di Stadium Shah Alam, malam ini.

"Saya mahu pemain berwaspada dan sudah tentu saya mahu mereka mempamerkan aksi terbaik," kata Dollah.

Menurut Dollah, dia tidak mahu anak-anak buahnya memandang remeh cabaran Terengganu kerana pasukan itu boleh memintas kedudukan Selangor di tangga kedua andai mereka menang malam ini.

"Kita tak mahu ketinggalan walau satu mata pun pada perlawanan ini. Jika tidak, ia akan membawa masalah kepada kita untuk terus mengekori Kedah.

"Saya mahu pemain supaya memberi fokus sepenuhnya pada perlawanan ini dan menganggapnya seperti satu perlawanan akhir," katanya ketika dihubungi KOSMO! semalam.

Ditanya kesebelasan pemain Selangor yang akan turun pada perlawanan malam ini, Dollah berkata, dia akan menurunkan barisan terbaiknya memandangkan tiada seorang pun pemainnya digantung perlawanan atau mengalami kecederaan.

"Cuma Megat Amir Faisal (penjaga gol) mengalami demam ketika ini, tetapi ia bukan satu masalah kerana kita ada Mohd. Suffian Abdul Rahman.

"Suffian pun telah membuktikan dia berjaya menjaga gawang dengan baik sejak diturunkan dalam tiga perlawanan terakhir Selangor," jelasnya.

Dollah turut mengakui Terengganu kini semakin meningkat dan terbaru mereka telah menewaskan Brunei DPMM 2-0 menerusi dua jaringan penyerang importnya, Gleisson de Souza, Selasa lalu.

"Tiada istilah untuk kita rantai mana-mana pemain mereka. Cuma saya mahu pemain saya lakukan terbaik serta tidak mudah leka. Jika tidak, kita akan menerima padah," tegas Dollah.

Pada perlawanan pusingan pertama di Kuala Terengganu 15 Januari lalu, Selangor berjaya mengikat Terengganu 1-1 menerusi jaringan awal Frank Seator pada minit keenam sebelum disamakan Fabio Flor pada minit ke-90.