Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
13.03.08

Selangor tetap intai gelaran Liga Super

Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)

SELANGOR tetap mengimpikan untuk muncul juara Liga Super musim 2007/08 biarpun ketika ini mereka masih berada di tangga kedua liga di belakang juara musim lalu, Kedah.

Selangor kini sudah meraih 36 mata ketika saingan masih ada tujuh perlawanan lagi untuk diharung sementara Kedah pula sudah mengumpul 38 mata tetapi ada kelebihan satu perlawanan berbanding Selangor.

Bagi merealisasikan hasrat mereka itu, Selangor tidak boleh lagi kehilangan mata dan jika berlaku, ia akan menjejaskan misi mereka memburu gelaran.

Sabtu ini, mereka akan melayan kunjungan Pahang di Shah Alam, diikuti pertemuan dengan Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Sarawak, Johor FC dan Negeri Sembilan dalam baki perlawanan musim ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Hamidin Mohd. Amin (gambar) berkata, perlawanan bertemu Kedah di Shah Alam pada 5 April depan bakal menjadi penentuan terhadap peluang mereka untuk muncul juara Liga Super buat kali pertama sejak ia diperkenalkan pada 2004.

"Perlawanan dengan Kedah itu nanti akan menentukan siapa yang akan menggenggam gelaran liga. Kita masih menaruh harapan untuk muncul juara walaupun ketika ini kita ketinggalan dua mata dengan Kedah," katanya ketika ditemui selepas perlawanan menentang PDRM di Stadium Selayang, malam kelmarin.

Pada perlawanan itu, Selangor terus cemerlang apabila menewaskan PDRM 2-1 menerusi dua jaringan Akmal Rizal pada minit keempat dan ke-82 manakala jaringan tunggal PDRM dijaringkan Budi Sudarsono pada minit ke-67.

Hamidin turut berpuas dengan komitmen dan fokus para pemain Selangor sepanjang perlawanan itu biarpun dalam situasi terkini FAS yang bakal bertukar presiden selepas Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo kini bukan lagi Menteri Besar Selangor.

"Saya berpendapat, selepas pertemuan dengan pemain dan jurulatih baru-baru ini, pemain dan jurulatih masih dapat memberi fokus terhadap perlawanan," ujarnya.

Ditanya mengenai bilakah FAS akan mengadakan mesyuarat berhubung situasi terkini dalam persatuan itu, Hamidin berkata, pihaknya akan mengumumkan apabila tiba masanya nanti.

"Buat sementara waktu, cukup saya katakan, kita sebagai sebuah persatuan sukan akan mengikut perlembagaan sedia ada.

"Kita anggap, mana-mana pihak berkaitan tak perlulah risau, kerana FAS sentiasa mahukan kemajuan bola sepak di negeri Selangor dan seterusnya menaikkan imej bola sepak di Malaysia," jelas Hamidin.

Menteri Besar Selangor baru yang bakal dilantik nanti akan secara automatik memegang jawatan presiden FAS memandangkan ia telah termaktub dalam perlembagaan persatuan terbabit.