08.04.08
Akmal janji bolos gawang KM Naza
Oleh: Mohd Fadzrie Hazis (BERITA HARIAN)
SELEPAS kempunan hanya diberi aksi 10 minit dalam pertemuan getir Liga Super menentang Kedah, Sabtu lalu, Akmal Rizal Ahmad Rakhli kini memperoleh kesempatan membuktikan kemampuan dalam saingan Piala FA, malam ini.
Ketiadaan penyerang utama Selangor, Safee Sali yang menjalani pergantungan satu perlawanan kini membuka peluang kepada bekas penyerang kebangsaan itu berada dalam kesebelasan utama skuad Merah Kuning berdepan Kuala Muda Naza pada perlawanan suku akhir pertama di Stadium Darulaman, malam ini.
Beraksi di Alor Star juga memberi erti istimewa tersendiri buat Akmal, kerana di gelanggang itulah dia mula mengasah bakat awalnya bersama Kedah sehingga mampu beraksi untuk skuad belia kelab Perancis, Strasbourg pada 2000.
"Stadium ini mempunyai nilai cukup istimewa di hati saya. Di sini saya membesar dan sudah pasti ia membakar semangat saya untuk membantu Selangor menjaringkan gol esok (malam ini).
"Memang saya berasa sedikit kecewa hanya diturunkan pada hujung perlawanan dengan Kedah, tetapi itu adalah keputusan Dollah (Salleh) selaku jurulatih dan saya menghormatinya.
"Cuma saya berharap jika saya berjaya melakukan jaringan, saya akan diberi peluang untuk kekal dalam kesebelasan utama selepas ini," kata Akmal.
Selepas kekalahan kepada Kedah yang menutup peluang Selangor merangkul kejuaraan Liga Super, pemain berusia 26 tahun itu berkata pemain dalam skuad Selangor kini bertekad untuk terus memberi aksi terbaik dalam saingan Piala FA.
"Sejak kekalahan kepada Kedah, suasana dalam pasukan masih baik kerana sebagai pemain kami tahu kami sudah memberi aksi terbaik ketika berdepan Kedah tetapi ia jelas bukan malam kami hari itu," katanya.
Namun, Akmal tetap menghormati lawan yang bakal ditemui malam ini kerana menyifatkan mereka sebagai pasukan berpengalaman yang dibarisi ramai bekas pemain kebangsaan di hampir setiap posisi.
Antara bekas pemain kebangsaan yang menjadi sandaran kelab itu ialah penjaga gol, Azizon Kadir, pemain pertahanan, B Rajnikandh, Anuar Jusoh dan juga pemain penyerang, Liew Kit Kong.