08.04.08
Akmal mahu buktikan
Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)
MUNGKIN suratan atau kebetulan.
Itulah yang boleh dirumuskan dengan penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang diberi peluang berada dalam kesebelasan utama Selangor dalam dua perlawanan berturut-turut minggu ini, sekali gus bakal menjadi medan buat dirinya membuktikan kemampuan.
Akmal, 27, bakal bergandingan dengan Frank Seator untuk perlawanan suku akhir pertama Piala FA bertemu Kuala Muda Naza di Stadium Darulaman malam ini berikutan Safee Sali digantung satu perlawanan akibat dua kad kuning dalam Piala FA.
Sabtu ini, pemain yang berasal dari Jitra, Kedah itu akan berpasangan pula dengan Safee untuk menggempur Pulau Pinang di Stadium Bandaraya dalam aksi Liga Super kerana Seator digantung satu perlawanan selepas mengutip tiga kad kuning dalam Liga Super.
Bagi Akmal, peluang yang diberi itu akan digunakan sepenuhnya untuk membuktikan sentuhannya masih tajam menggegar jaring gol lawan selain memikat perhatian ketua jurulatih Selangor, Dollah Salleh.
"Bila dapat peluang main kesebelasan utama, saya mahu gunakannya sebaik mungkin. Saya akan cuba menjaringkan gol bagi memastikan Selangor mencatat kemenangan," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Menurut Akmal, beraksi di Stadium Darulaman malam ini pastinya membuatkannya lebih teruja kerana dia memulakan karier bola sepaknya di stadium keramat itu sewaktu mewakili Kedah sebelum ini.
"Main di sini akan mengembalikan memori lama.Sudah pasti saya mahu tunjuk persembahan terbaik lebih-lebih lagi di hadapan keluarga dan isteri yang akan hadir memberikan sokongan," jelasnya.
Namun, dia tidak mahu menganggap Kuala Muda Naza sebuah pasukan yang boleh dipandang ringan cabarannya kerana mereka turut mempunyai beberapa pemain berpengalaman.
"Yang penting, Selangor perlu menang dengan jaringan selesa untuk dibawa ke perlawanan kedua nanti," ujarnya yang sedikit kecewa kerana hanya sempat beraksi tujuh minit ketika Selangor tewas 0-1 kepada Kedah, Sabtu lalu.
Sebelum ini, ketika Safee digantung dua perlawanan awal bulan lalu, Akmal menggunakan peluang beraksi dalam kesebelasan utama dengan menjaringkan dua gol ketika seri 2-2 dengan Brunei DPMM dan dua gol ketika menewaskan PDRM 2-1, kedua-duanya di gelanggang lawan.
Secara keseluruhan, Akmal kini sudah menjaringkan tujuh gol, empat dalam Liga Super dan tiga dalam Piala FA bagi musim ini.