17.04.08
Aksi tradisi kembali
Oleh: Yasmin Raman (KOSMO!)
TRADISI pertembungan antara skuad veteran Selangor dengan Singapura akan menjadi pembuka tirai Piala Sultan Selangor kali ini sebelum perlawanan beralih tumpuan kepada pilihan Selangor menentang pilihan Singapura.
Pertembungan dua gergasi bola sepak itu akan berlangsung di Stadium Shah Alam pada 6 Julai depan.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), Datuk Abdul Karim Munisar berkata, objektif saingan Piala Sultan Selangor itu diadakan adalah sebagai langkah untuk terus mengukuhkan hubungan akrab antara Selangor dan Singapura.
"Seperti yang kita tahu, Piala Sultan Selangor ini diperkenalkan untuk mengeratkan semangat setiakawan antara kedua belah pihak yang telah terbina sejak dahulu lagi.
"Selain mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara, penganjuran ini juga mampu menggamit kembali pertemuan kedua-dua pasukan yang sebelum ini terkenal dengan kehebatan masing-masing dalam arena bola sepak tempatan," kata Abdul Karim.
Abdul Karim menambah, kejohanan kali ini dijangka meriah kerana ia bakal menghimpunkan legenda bola sepak yang pernah mengharumkan nama Selangor di persada bola sepak tempatan pada malam pertandingan tersebut.
"Kejohanan kali ini dijangka akan lebih meriah dengan kehadiran pemain-pemain veteran Selangor dan Singapura di Stadium Shah Alam nanti.
"Sasaran kami adalah untuk menarik minat kira-kira 60,000 penonton membanjiri stadium dengan tiket yang dijual pada harga RM5 untuk semua tempat duduk," ujarnya.
Antara bintang bola sepak Selangor yang akan beraksi ialah Dollah Salleh, Kamaruzaman Yusuf, Wong Hung Nung, Santokh Singh, Yap Kam Choon, Datuk M. Chandran, Datuk Soh Chin Aun, Khalid Ali, Mohd. Shah Norbit, Vincent Thambirajah, Hanafiah Ali, Abdul Muin dan Zainal Abidin Hassan.
Selain itu, Abdul Karim berkata, kejohanan kali ini turut menyaksikan penglibatan artis popular tanah air dan penonton berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah melalui tiket yang dibeli.
"Selain dapat menyaksikan persembahan dari artis popular tanah air, penonton bertuah berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah.
"Tahun lalu, penonton yang menang cabutan bertuah dapat menyaksikan perlawanan bola sepak Liga Perdana England dengan tiket penerbangan dan penginapan ditaja keseluruhannya bagaimanapun, tahun ini, kami belum tahu lagi namun kami yakin ia lebih menarik," tambahnya.