Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
24.04.08

Dollah cemas dengan aksi Selangor

Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)

AKSI bersahaja pemain Selangor pada separuh masa kedua perlawanan suku akhir kedua Piala FA bertemu Kuala Muda Naza (KM Naza) malam kelmarin nyata mencemaskan ketua jurulatihnya, Dollah Salleh.

Menurut Dollah, selepas Selangor mendahului 3-0 pada babak pertama menerusi jaringan Frank Seator dan dua gol Safee Sali, kelekaan tersebut hampir meranap impian Gergasi Merah untuk mara ke separuh akhir.

"Secara keseluruhan saya puas hati dengan persembahan pemain. Cuma, saya ada rasa berdebar sedikit sepanjang babak kedua terutama pada 20 minit terakhir.

"Mana tidaknya, ketika KM Naza berjaya menjaringkan gol pertama menerusi Liew Kit Kong pada awal babak kedua untuk kedudukan 3-1, Kuala Muda akan layak berdasarkan gol di tempat lawan jika mereka berjaya menyumbat satu lagi gol.

"Gol keempat menerusi Amirul Hadi Zainal berjaya menyelamatkan Selangor selepas pertahanan kita agak hilang punca sepanjang babak kedua," ujarnya yang jelas bangga dengan kemenangan 4-1 itu.

Dollah berkata, misi seterusnya kini adalah untuk mempertahankan kedudukan di tangga kedua Liga Super bagi mengaut hadiah wang tunai RM300,000.

"Kita nak kekal di tempat kedua. Sekarang kita tumpu untuk bertemu Johor FC di Pasir Gudang, Sabtu ini. Kita tak boleh kalah, Negeri Sembilan tunggu saja untuk pintas kita," jelasnya.

Bagi saingan separuh akhir Piala FA pula, Selangor akan menanti kunjungan Terengganu di Shah Alam pada perlawanan pertama 14 Jun manakala perlawanan kedua akan berlangsung di Kuala Terengganu pada 17 Jun.