Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
18.04.08

Dollah mahu anak didik bangkit benam Sarawak

Oleh: Mohd Fadzrie Hazis (BERITA HARIAN)

SELEPAS mengalami dua kekalahan berturut-turut dalam Liga Super, jurulatih Selangor, Dollah Salleh melihat pertemuan dengan Sarawak esok sebagai perlawanan sesuai buat pasukannya kembali mempamerkan kebangkitan.

Dollah mengakui hukuman berat yang dikenakan Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 10 April lalu menjejaskan tumpuan pemain-pemainnya, tetapi bekas penyerang kebangsaan itu yakin pasukannya akan kembali bangkit di Stadium Shah Alam esok.

"Memang hukuman berat itu memberi kesan kepada pemain saya, tetapi selepas saya dan pengurusan menjelaskan kepada mereka bahawa masalah itu akan ditangani segera, pemain mula kembali mempamerkan kesungguhan dalam latihan semalam (kelmarin).

"Mereka kini kembali fokus menjelang pertemuan dengan Sarawak dan saya mengharapkan kesungguhan yang dipamerkan dalam latihan akan dapat diterjemahkan dalam perlawanan nanti, " kata Dollah.

Walaupun Kedah sudah mengesahkan kejuaraan Liga Super, Dollah menegaskan sasaran menduduki tempat kedua liga musim ini harus dicapai pasukannya dan dia tidak mahu aksi longlai ketika ditewaskan 1-4 kepada Pulau Pinang pada aksi Liga Super 12 April lalu berulang lagi.

Dollah mengakui Negeri Sembilan kini semakin mempamerkan peningkatan di penghujung musim selepas memintas Perak di tangga ketiga minggu lalu, tetapi dia enggan menumpukan perhatian terhadap cabaran pasukan itu sebaliknya lebih tertumpu terhadap aksi persembahan pasukannya.

"Memang Negeri Sembilan mempamerkan peningkatan kini tetapi bagi saya jika pemain saya dapat mengekalkan tahap permainan konsisten bermula pertemuan dengan Sarawak, tempat kedua seharusnya menjadi milik kami.

"Pemain-pemain juga harus memastikan aksi lemah yang dipamerkan ketika bertemu Pulau Pinang tidak akan berulang lagi. Menduduki tempat kedua adalah penting bagi Seangor dan kebangkitan kami harus bermula dengan pertemuan dengan Sarawak, " katanya.

Dollah juga menyedari dengan menduduki tempat kedua berkemungkinan merintis peluang pasukannya beraksi dalam saingan Piala AFC tahun depan, seandainya Kedah berjaya mempertahankan kejuaraan Piala FA.