Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
10.04.08

Dollah persalah jentera serangan

Oleh: Mohd Fadzrie Hazis (BERITA HARIAN)

ANDAI sebelum ini kealpaan benteng menjadi masalah utama Selangor, kini ketumpulan jentera serangan pula menjadi punca utama kekalahan pasukan itu dalam dua perlawanan berturut-turut.

Terbaru skuad kendalian Dollah Salleh itu tewas mengejut 1-0 kepada wakil dari Kedah, Kuala Muda Naza pada perlawanan suku akhir pertama Piala FA kelmarin, dan bekas penyerang kebangsaan itu kini mengharapkan kebangkitan segera penyerangnya.

Barisan serangan Selangor diterajui Frank Seator, Safee Sali dan juga Akmal Rizal Ahmad Rakhli mula ketandusan jaringan sejak pertemuan Liga Super dengan Kedah Sabtu lalu, dan sindrom itu berterusan apabila berdepan KM Naza, kelmarin.

"Saya lebih tertumpu kepada bahagian pertahanan sebelum ini, tetapi barisan serangan pula kini yang mengecewakan saya. Frank dan Akmal memiliki banyak peluang ketika berdepan Kuala Muda, namun gagal menyempurnakannya.

"Kami hanya tewas daripada segi jaringan, kerana jika dilihat kepada perlawanan semalam (kelmarin) jelas sekali kami yang menguasai sebahagian besar perlawanan dan mencipta lebih banyak peluang gol berbanding ketika berdepan Kedah sebelum ini," kata Dollah.

Dollah juga mengingatkan pemain untuk tidak memandang rendah pertemuan dengan Pulau Pinang, Sabtu ini, kerana perjuangan mereka dalam Liga Super belum selesai walaupun harapan menjuarai liga kian tipis selepas tewas 0-1 kepada Kedah Sabtu lalu.

"Saya percaya kami mampu mengekalkan kedudukan di tangga kedua Liga Super sehingga akhir musim, tetapi pemain harus segera buang sikap cuai ketika beraksi dan menyempurnakan peluang gol yang dicipta.

"Kami tidak boleh memandang rendah Pulau Pinang walaupun mereka kini berada di tangga tercorot, jika kami memandang rendah lawan ia akan hanya mengundang padah buat pasukan," kata Dollah.

Sementara itu, Dollah dan empat pemainnya, Safee, Akmal, Indra Putra Mahayuddin dan Amirul Hadi Zainal akan menghadap Lembaga Disiplin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), hari ini berhubung insiden empat pemain itu melarikan diri daripada Klinik Bola Sepak Ian Rush pada 26 Mac lalu.

Bagi Dollah, dia dan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor, Hamidin Mohd Amin sudah memberi penjelasan berhubung insiden itu kepa da Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad sebelum ini dan bersedia mengadap Lembaga Disiplin.

"Saya sudah menjelaskan sebelum ini tindakan saya memanggil keempat-empat pemain itu adalah demi kepentingan pasukan, apa pun saya tetap bersedia mengadap Lembaga Disiplin esok (hari Ini), " kata Dollah.