Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
21.04.08

Dollah puji aksi pemain belasah Sarawak

Oleh: Mohd Fadzrie Hazis (BERITA HARIAN)

KEMENANGAN besar 4-1 mengatasi Sarawak pada aksi Liga Super kelmarin kembali menyuntik semangat Selangor dalam buruan tempat kedua liga namun jurulatihnya, Dollah Salleh tetap berwaspada dengan mengingatkan pemain-pemainnya untuk mengekalkan tahap aksi sama selepas ini.

Bagi Dollah, kemenangan ke atas Sarawak membuktikan pasukannya berjaya meningkatkan semula permainan selepas dua kekalahan berturut-turut dalam liga dan juga dikejutkan Kuala Muda Naza 1-0 pada perlawanan suku akhir pertama Piala FA.

Dollah kini mahukan pemainnya meneruskan aksi seperti kelmarin, walau apa pun keputusan Jawatankuasa Rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung hukuman menolak tiga mata daripada Liga Super gara-gara kes cabut lari empat penyerang Selangor daripada Klinik Bola Sepak Ian Rush 26 Mac lalu.

"Kemenangan ke atas Sarawak membuktikan kami berada pada landasan tepat untuk bangkit, memang dalam latihan beberapa hari ini pemain-pemain saya kembali mempamerkan kesungguhan dan keazaman tinggi.

"Mereka tidak lagi memikirkan masalah luar padang yang melanda kami dan mereka kini harus meneruskan usaha keras dalam baki dua lagi perlawanan Liga Super dan juga pertemuan suku akhir kedua Piala FA Selasa ini (esok).

"Sama ada hukuman menolak tiga mata itu kekal atau sebaliknya, saya mahu pemain fokus dalam usaha mencapai sasaran menduduki tempat kedua dan meneruskan kemaraan ke separuh akhir Piala FA," kata Dollah.

Selangor kini memungut 45 mata, diekori rapat pasukan yang sedang meningkat pada hujung musim, Negeri Sembilan dengan 42 mata tetapi jika hukuman tiga mata kekal, Selangor memungut mata sama dengan pasukan bimbingan Wan Jamak Hassan itu dan hanya dibezakan menerusi perbezaan jaringan.

Sementara itu, Dollah tidak mahu pemainnya terlalu tertumpu untuk menjaringkan gol awal apabila berdepan Kuala Muda esok kerana ia akan hanya memberi tekanan kepada diri sendiri.

"Kami ketinggalan 1-0 selepas perlawanan pertama dan pemain harus tahu apa yang perlu dilakukan. Jaringan awal mungkin penting, tetapi kami mempunyai 90 minit perlawanan untuk melakukannya dan mereka tidak harus meletakkan beban pada diri sendiri.

"Apa yang penting mereka tidak hilang tumpuan pada perlawanan dengan Kuala Muda. Jika mereka mampu fokus sepanjang 90 minit perlawanan dan tidak melakukan kesilapan, saya yakin kami mampu meneruskan kemaraan, " kata Dollah.

Selangor mempunyai rekod cemerlang dalam Piala FA dengan empat kejuaraan (1991, 1997, 2001 dan 2005) dan Dollah kini mensasarkan kejuaraan kelima pasukannya selepas kecewa gagal menghalang Kedah daripada mempertahankan kejuaraan Liga Super.