Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
07.04.08

Dollah rasa terkilan

Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)

KETUA jurulatih Selangor, Dollah Salleh terkilan kerana gagal menghadiahkan kemenangan kepada 30,000 penyokong setia Merah Kuning selepas pasukannya tewas 0-1 kepada Kedah pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam malam kelmarin.

"Saya rasa terkilan juga untuk semua penyokong Selangor. Tapi tetap bangga dengan mereka (penyokong) kerana tak keluar stadium sebelum perlawanan berakhir.

"Mereka dah beri sokongan 100 peratus pada hari ini (kelmarin). Jadi, kami berjanji akan cuba untuk mendapatkan pula Piala FA," kata Dollah ketika ditemui selepas perlawanan malam kelmarin.

Selangor tewas menerusi jaringan tunggal penyerang muda Kedah, Saramsak Kram pada minit ke-18, sekali gus menyebabkan impian skuad Gergasi Merah untuk terus bersaing merebut kejuaraan hampir musnah.

Kedah kini hanya perlu mengutip empat mata dalam baki empat perlawanan sebelum sah sebagai juara.

Manakala Selangor pula perlu menang dua daripada baki empat perlawanan bagi mengelak dipintas Perak untuk kedudukan naib juara.

Mengulas aksi pemainnya malam kelmarin, Dollah memberitahu, mereka telah memberikan persembahan terbaik terutama pada separuh masa kedua.

"Sedikit kelekaan menjadi punca Kedah berjaya mendapatkan gol walaupun kita lebih banyak menyerang. Semua pemain telah berhabis-habisan pada babak kedua.

"Dah banyak usaha dilakukan, cuma bola saja tak mahu masuk ke dalam jaring. Penjaga gol Kedah (Helmi Eliza Elias) juga memainkan peranan dengan baik sekali," ujarnya.

Selangor kini mengalihkan tumpuan pada kempen Piala FA dan mereka akan turun menentang Kuala Muda Naza pada perlawanan suku akhir pertama di Stadium Darul Aman, Alor Star malam esok