15.04.08
FAM tak harus cuci tangan
Oleh: Lokman Zainal Abidin (HARIAN METRO)
BUAT pertama kalinya bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Dr Ibrahim Saad sependapat dengan pandangan bekas Naib Presiden FAM, Datuk Paduka Ahmad Basri Akil mengenai isu hukuman yang diterima Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).
Bukan mudah untuk melihat dua bekas individu berpengaruh itu berkongsi kata-kata serupa dan seperti yang diketahui umum, kedua-duanya sering ‘bercakaran’ di dada media.
Tetapi ketika membicarakan mengenai hukuman yang diterima FAS gara-gara empat pemain mereka ‘lari’ daripada klinik penyerang kendalian Ian Rush, Ibrahim menyarankan badan induk kebangsaan itu mengkaji semula hukuman berkenaan.
"FAS tidak harus dipersalahkan seratus peratus. FAM tidak harus cuci tangan begitu saja kerana mereka juga turut silap malah kesalahan mereka adalah lebih serius lagi. Adalah tidak adil FAS dikenakan tindakan sedangkan mereka tidak tahu menahu mengenai perbuatan empat pemain mereka itu.
"Apa yang penting ialah, mereka dikatakan lari daripada klinik anjuran FAM. Perlu diingat, itu adalah klinik dan bukannya kem latihan pusat. Kesilapan paling besar FAM ialah mengapa mereka mengadakan klinik itu ketika saingan liga sedang berlangsung?
"Klinik itu boleh diadakan ketika saingan pertandingan tempatan sudah tamat kerana tarikh klinik itu ditetapkan oleh FAM sendiri. Sepanjang pengetahuan saya, mana-mana pemain yang dipanggil perlu menghadirkan diri untuk menjalani latihan pusat bagi menghadapi pertandingan anjuran Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) atau Fifa kerana tarikh pertandingan itu bukan dalam bidang kuasa FAM.
"Tetapi klinik ini tidak ada kena mengena dengan pertandingan luar yang harus disertai skuad kebangsaan dan justeru, apakah keperluan yang mendorong FAM untuk mengenakan tindakan yang keterlaluan terhadap FAS?
"FAM juga tidak boleh memotong mata pasukan Selangor selain mengenakan hukuman denda yang tinggi terhadap FAS hanya semata-mata kesilapan yang dilakukan oleh pemain mereka. Yang patut dihukum ialah pemain dan bukannya persatuan," kata Ibrahim.
Minggu lalu, Jawatankuasa Tatatertib FAM mengenakan hukuman denda sebanyak RM20,000 terhadap FAS; denda RM10,000 terhadap jurulatih, Dollah Salleh manakala RM1,000 setiap seorang terhadap Mohd Safee Sali, Indra Putra Mahayuddin, Amirul Hadi Zainal dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli selepas didapati bersalah kerana meninggalkan klinik penyerang yang diadakan bulan lalu.
Ibrahim berkata, sekiranya FAS dikenakan hukuman yang begitu tinggi, banyak pihak sedang menunggu bentuk hukuman yang bakal diterima Johor Pasir Gudang dan Sabah kerana penyerang dua pasukan terbabit langsung tidak hadir untuk klinik berkenaan.
"Andai hadir sekalipun sudah dikenakan hukuman sebegitu, saya tidak dapat membayangkan apa yang bakal diterima Johor Pasir Gudang dan Sabah selepas ini," kata Ibrahim.