Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
17.04.08

FAS belum kemuka rayuan kepada FAM

Oleh: Mohd Fadzrie Hazis (BERITA HARIAN)

PERSATUAN Bola Sepak Selangor (FAS) masih belum mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), berhubung hukuman berat yang dikenakan Jawatankuasa Disiplin badan induk itu terhadap mereka pada 10 April lalu.

Setiausaha Agung FAS, Hamidin Mohd Amin mengesahkan pihaknya masih belum berbuat demikian sehingga mengadakan pertemuan dengan Presiden FAS, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang juga Menteri Besar Selangor.

"Semuanya akan diputuskan selepas saya mengadakan perjumpaan dengan Presiden FAS dalam masa terdekat ini.

"FAS adalah pihak tertuduh dalam kes ini, dan tidak wajar bagi saya memberikan sebarang komen mengenai hal ini. Bagi saya segala pandangan yang dibangkitkan media adalah berbentuk pandangan peribadi, " kata Hamidin yang ditemui selepas sidang media Piala Sultan Selangor di Shah Alam semalam.

Pada mesyuarat Jawatankuasa Disiplin 10 April lalu, FAS dikenakan hukuman denda RM20,000 manakala jurulatihnya, Dollah Salleh didenda RM10,000 selepas empat pemainnya ‘cabut’ daripada klinik kendalian bekas penyerang Liverpool, Ian Rush untuk beraksi bersama skuud itu berdepan Perak dalam saingan Piala FA.

Empat pemain terbabit, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Safee Sali, Indra Putra Mahayuddin dan Amirul Hadi Zainal masing-masing didenda RM1,000. Skuad Selangor turut ditolak tiga mata dalam saingan Liga Super.

FAS mempunyai tempoh sehingga 24 April ini untuk mengemukakan rayuan mereka.

Namun, Hamidin mengakui hukuman berat yang dikenakan itu menjejaskan skuad Selangor yang tewas mengejut 4-1 kepada pasukan tercorot, Pulau Pinang pada saingan Liga Super 12 April lalu.

"Memang tumpuan pemain sedikit terjejas ketika itu kerana pemain menyedari kami mungkin dipotong tiga mata daripada Liga Super, tetapi pengurusan sudah mengadakan pertemuan dengan pemain dan memberi pengesahan kepada mereka masalah ini akan kami selesaikan secepat mungkin," kata Hamidin.

Sementara itu, Selangor akan membariskan pemain skuad Liga Super dalam perlawanan Piala Sultan Selangor bertemu Pilihan Singapura yang akan diadakan di Stadium Shah Alam pada 6 Julai ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Datuk Abdul Karim Munisar seramai 60,000 penonton dijangka menyaksikan perlawanan itu yang akan dimulakan dengan persembahan artis tempatan pada jam 5 petang diikuti perlawanan antara Veteran Selangor dengan Veteran Singapura pada jam 8 malam.

Tiket bagi menyaksikan perlawanan itu berharga RM5 dan akan mula dijual pada hujung minggu ini di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang seperti Hotel Concorde, Hotel Quality dan juga Hard Rock Cafe.