Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
03.04.08

FAS belum selamat

Oleh: Lokman Zainal Abidin (HARIAN METRO)

SURAT penjelasan yang dikirimkan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) minggu lalu ternyata tidak cukup untuk menyelesaikan isu empat pemain mereka yang didakwa melarikan diri daripada klinik penyerang kendalian Ian Rush.

Mungkin FAS sendiri tidak menyangka isu itu akan dipanjangkan kerana surat penjelasan yang dikirimkan itu turut mengandungi permintaan maaf sambil disertakan dengan alasan mengapa empat pemain terbabit dipanggil menyertai latihan bersama skuad negeri.

Begitupun, FAM semalam memutuskan untuk menghadapkan FAS ke muka Lembaga Disiplin badan induk kebangsaan itu pada jam 3 petang, 10 April ini.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad ketika dihubungi mengesahkan bahawa FAS terutama Setiausaha Agungnya, Hamidin Mohd Amin serta ketua jurulatih, Dollah Salleh akan dipanggil untuk memberikan keterangan.

"FAM mengambil keputusan untuk memanggil wakil FAS untuk memberikan keterangan berhubung pertuduhan empat pemain mereka melarikan diri daripada latihan.

"Setakat ini, kami belum menentukan sama ada keempat-empat pemain yang terbabit akan dipanggil atau tidak. Perkara itu akan kita putuskan esok (hari ini)," kata Azzuddin.

Jika didapati bersalah, FAS mungkin dihukum mengikut peraturan sedia ada termasuk denda sebanyak RM50,000; penggantungan; pemotongan tiga mata serta apa-apa tindakan yang difikirkan sesuai.

Hujung bulan lalu, empat pemain iaitu Mohd Safee Sali, Amirul Hadi Zainal, Indra Putra Mahayuddin serta Akmal Rizal Ahmad Rakhli didakwa melarikan diri daripada klinik penyerang yang dikendalikan bekas penyerang Liverpool, Ian Rush.

Keempat-empat penyerang itu dihubungi Dollah yang amat memerlukan khidmat mereka bagi menghadapi perlawanan penting menentang Perak pada saingan Piala FA.

Perbuatan empat penyerang kebangsaan itu jelas menghadirkan rasa tidak senang FAM yang menganggap klinik berkenaan sebagai sesuatu yang penting dan Dollah secara terbuka sudah memohon maaf dan mengaku salah, sehari selepas itu.

Sementara itu, Hamidin berkata pihaknya sudah menerima surat memaklumkan mengenai hasrat FAM untuk memanjangkan perkara berkenaan ke Lembaga Disiplin, semalam tetapi mengaku tidak tahu menahu mengenai tarikh 10 April itu.

Begitupun, Hamidin tegas mengatakan bahawa FAS tidak gentar dan bersedia pada bila-bila masa untuk berdepan dengan Lembaga Disiplin FAM.

"Perkara ini sudah dibincangkan beberapa kali dengan Setiausaha Agung FAM tetapi nampaknya ia tidak selesai setakat itu saja dan kami perlu berdepan Lembaga Disiplin.

"Kami di FAS tidak ada masalah untuk memberi keterangan kepada lembaga terbabit," katanya.