16.04.08
Hukuman tak sah
Oleh: Lokman Zainal Abidin (HARIAN METRO)
BAYANGKAN keadaan ini - sebuah jawatankuasa yang boleh dianggap tidak sah kerana melanggar perlembagaan persatuan, menjatuhkan pelbagai hukuman terhadap berpuluh-puluh kes yang mereka bicarakan sejak tahun lalu.
Yang menariknya, semua hukuman dijatuhkan jawatankuasa itu tetap dipatuhi kerana tidak ada sesiapa sedar bahawa ada antara individu yang memegang jawatan tinggi di dalam jawatankuasa itu sebenarnya tidak layak menduduki kerusi berkenaan.
Bunyinya memang pelik, tapi sebagai sebuah persatuan yang sudah ditubuhkan sejak sebelum Merdeka iaitu pada 1933, perkara sebegitu tidak sepatutnya berlaku, apatah lagi ketika imej Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ketika ini teruk tercalar.
Jawatankuasa Tatatertib FAM yang diterajui Tan Sri Aseh Che Mat memang digeruni semua ahli gabungan FAM kerana jawatankuasa itu dianggap sebagai ‘mahkamah’ untuk semua individu yang terbabit secara langsung di dalam bola sepak.
Tapi malangnya, penubuhan jawatankuasa yang bertanggungjawab terhadap semua perkara berkaitan dengan masalah disiplin pemain, pasukan dan pegawai itu sebenarnya boleh dianggap sebagai tidak sah.
Semuanya kerana kesilapan besar dilakukan pentadbiran FAM yang mungkin terlepas pandang apabila menamakan Timbalan Pengerusi, Kamaruddin Abdullah daripada kalangan bukan Ahli Majlis sedangkan ia bercanggah dengan perlembagaan.
Penubuhan jawatankuasa itu dianggap tidak menepati kehendak Perlembagaan FAM Artikel 4.04 (7A) di bawah tajuk Jawatankuasa Disiplin yang menyebut jawatankuasa terbabit perlu mempunyai seorang Pengerusi dan Timbalan Pengerusi yang mana kedua-duanya hendaklah terdiri daripada Ahli Majlis FAM.
Apa yang dinyatakan di dalam perlembagaan itu cukup jelas, sekali gus membuka pekung badan induk kebangsaan kerana bagaimana mereka boleh melantik timbalan pengerusi Jawatankuasa Tatatertib daripada kalangan bukan Ahli Majlis.
Apabila berlakunya perlanggaran perlembagaan itu, timbul pula satu persoalan yang perlu dijawab segera FAM iaitu adakah semua keputusan yang sudah dijatuhkan Jawatankuasa Tatatertib FAM itu sah atau tidak.
Terbaru, arena bola sepak negara dikejutkan apabila Jawatankuasa Tatatertib FAM mengenakan hukuman pemotongan tiga mata dan denda RM20,000 kepada FAS selain denda RM10,000 kepada ketua jurulatih, Dollah Salleh dan masing-masing RM1,000 terhadap empat penyerang skuad terbabit selepas dianggap bersalah kerana melarikan diri daripada klinik penyerang kendalian Ian Rush.
Hukuman itu mencetuskan pelbagai reaksi kurang senang daripada banyak pihak yang menganggap ia sebagai sesuatu yang keterlaluan atas kesalahan meninggalkan klinik penyerang dan bukannya kem latihan pusat.
Bekas Setiausaha Agung FAM, Datuk Seri Dr Ibrahim Saad dan bekas Naib Presiden FAM, Datuk Paduka Ahmad Basri Akil juga berkongsi pendapat yang sama iaitu hukuman yang dikenakan terhadap FAS itu terlalu berat sedangkan FAM sendiri perlu bertanggungjawab kerana mengadakan klinik terbabit ketika saingan liga tempatan sedang berlangsung.