Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
22.04.08

MB restu Selangor merayu

Oleh: Abdul Hafiz Ahmad (UTUSAN MALAYSIA)

KLANG - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim merestui usaha Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mengemukakan rayuan berhubung denda dan potongan tiga mata Liga Super oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana kes empat pemainnya 'ponteng' Klinik Ian Rush Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), 26 Mac lalu.

Setiausaha Agung FAS, Hamidin Amin berkata, persetujuan Presiden FAS itu dicapai dalam satu mesyuarat jawatankuasa eksekutif (exco) persatuan, baru-baru ini selepas turut mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk pemain dan pegawai pasukan Merah Kuning.

Kata Hamidin yang ditemui pada sesi latihan skuad futsal negara di Real Sports Arena di sini, semalam: "Proses rayuan akan dilakukan secepat mungkin dalam satu atau dua hari lagi kerana tarikh akhir untuk kami melakukannya berdasarkan surat FAM ialah 28 April ini."

Hamidin turut yakin, pihaknya mempunyai asas yang kuat untuk mengemukakan rayuan terhadap denda RM34,000 ke atas FAS, jurulatih Selangor, Dollah Salleh dan empat pemain mereka - Akmal Rizal Rakhli, Safee Sali, Indra Putra Mahayuddin dan Amirulhadi Zainal itu.

Jawatankuasa Tatatertib FAM pada 10 April lalu, turut mengarahkan tiga mata skuad Gergasi Merah dalam Liga Super dipotong setelah Dollah didapati mengarahkan mereka meninggalkan klinik itu bagi menghadapi pusingan kedua Piala FA menentang Perak di Shah Alam, 27 Mac lalu.

Kata Hamidin yang juga Ahli Exco FAM, Presiden FAS pada mulanya berasa kurang selesa untuk membenarkan rayuan itu tetapi dia tetap peka dengan rintihan pelbagai pihak seperti pemain dan jurulatih serta pasukan jadi mereka sepakat untuk meneruskannya.

"FAS bagaimanapun tidak boleh mendedahkan bentuk rayuan itu sama ada bagi meringankan atau menggugurkan terus hukuman. Kami serahkan kepada budi bicara Jawatankuasa Rayuan FAM (dipengerusikan Datuk Abdul Aziz Rahman) untuk menimbangkannya," katanya,

Sementara itu, Hamidin yang juga pengurus pasukan futsal negara, berkata, senarai 14 pemain ke Kejohanan Asia di Bangkok dari 11 hingga 19 Mei ini akan diputuskan selepas tiga atau empat perlawanan persahabatan dengan kelab di ibu kota Thailand itu.

"Skuad kali ini memiliki 18 pelatih dengan gandingan tonggak lama dan muka baru sejak Sukan SEA Korat, Disember lalu dan Jemputan Dunia Kuala Lumpur, Januari lalu. Ada juga segelintir pemain senior yang tidak dapat bersama kerana masalah pelepasan kerja.

"Kami juga mengatur beberapa siri persahabatan pemanas badan di sini dengan menentang Perak, Melaka dan kelab KWSP," katanya mengenai skuad bimbingan P. Balakrishnan yang diundi dalam Kumpulan C Kejohanan Asia Ke-10 dengan Uzbekistan, Lebanon dan Korea Selatan.

Katanya, Malaysia kini berada di ranking kedua Asia Tenggara dan 16 di Asia dan sasaran minimum pasukan di Bangkok ialah menyertai kelompok 12 teratas dengan memenangi sekurang-kurangnya satu perlawanan kemungkinan dengan Korea Selatan.

"Malaysia belum pernah menentang Korea Selatan dan satu tugas berat dalam menghadapi Uzbekistan (naib juara Asia 2006) tetapi kami akan cuba yang terbaik untuk mengejutkan Lebanon bagi mara ke suku akhir," katanya.