Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
17.04.08

MB Selangor tentukan rayuan FAS

Oleh: Abdul Hafiz Ahmad (UTUSAN MALAYSIA)

SHAH ALAM - Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) akan mengadakan pertemuan dengan Presidennya yang juga Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam memutuskan sama ada untuk merayu atau tidak terhadap hukuman denda ekoran tindakan empat pemainnya yang 'lari' dari Klinik Ian Rush, 26 Mac lalu.

Setiausaha FAS, Hamidin Amin (gambar) berkata, pertemuan itu akan diadakan dalam waktu terdekat ini memandangkan tempoh untuk mengemukakan rayuan terhadap hukuman Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu cuma tinggal seminggu lagi.

"Buat sementara saya tidak boleh komen apa-apa kerana merayu atau tidak bergantung kepada hasil pertemuan itu," katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM selepas sidang akhbar pengumuman perlawanan Piala Sultan Selangor 2008 di Hotel Quality, semalam.

Hamidin mengulas mengenai denda RM34,000 oleh FAM terhadap FAS; jurulatihnya, Dollah Salleh dan empat pemain - Indra Putra Mahyuddin, Safee Sali, Akmal Rizal Rakhli dan Amirulhadi Zainal yang meninggalkan klinik khas penyerang itu bagi persediaan menghadapi pusingan kedua Piala FA menentang Perak.

Mengenai laporan media kini yang banyak 'menyebelahi' FAS dan mempertikaikan kewajaran hukuman jawatankuasa tatatertib FAM pada 10 April lalu itu, katanya: "Saya tidak fikir ini masa yang sesuai untuk mengulasnya, yang itu cuma pandangan peribadi mereka (media)."

Namun Hamidin mengakui hukuman berkenaan banyak mempengaruhi tumpuan dan semangat skuad Gergasi Merah sehingga dibelasah 4-1 oleh Pulau Pinang (Liga Super) lalu merelakan Kedah muncul juara lebih awal dan tewas 1-0 kepada Kuala Muda (suku akhir pertama Piala FA).

"Namun kami tidak akan membiarkannya terus menghantui pasukan dan saya yakin pemain sudah kembali fokus dan mendapat momentum semula untuk bangkit menghabiskan tiga perlawanan liga dengan muncul naib juara biarpun mungkin dari belakang Negeri Sembilan selepas ini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Piala Sultan Selangor, Datuk Abdul Karim Munisar berkata, ganjaran sampingan bagi edisi ketujuh perlawanan pada 6 Julai itu akan dikekalkan seperti tahun lalu, RM50,000 bagi pemenang dan RM10,000 untuk yang kalah.

"Ganjaran ini hanya untuk perlawanan Pilihan Selangor dengan Pilihan Liga Singapura manakala Veteran Selangor dengan Veteran Singapura akan menjadi perlawanan pembuka tirai," katanya yang menjangkakan 60,000 orang akan menghadiri Stadium Shah Alam untuk menyaksikannya.

Tiket perlawanan yang mengimbas nostalgia Piala Malaysia antara dua musuh tradisi sejak 2001 ini berharga RM5 dan jawatankuasa penganjur katanya, akan menyediakan hadiah istimewa untuk cabutan bertuah seperti mana 2006 dan 2007 yang menampilkan kereta dan tiket Liga Perdana England.

Di gelanggang sama tahun lalu, Pilihan Liga Singapura merangkul Piala Sultan Selangor setelah menewaskan Pilihan Selangor 3-1 sementara Veteran Singapura menumpaskan Veteran Selangor 1-0. Dua tahun lalu, ia diadakan di Stadium Nasional republik itu.