11.04.08
Minggu malang bagi Selangor
Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)
TERNYATA minggu ini menjadi minggu paling malang buat pasukan Selangor.
Sabtu lalu, mereka tewas 0-1 di tangan Kedah dalam aksi penting Liga Super diikuti kekalahan tipis 0-1 kepada Kuala Muda Naza dalam aksi pertama suku akhir Piala FA, Selasa lalu.
Semalam, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pula menambah kedukaan buat pasukan Red Giants itu apabila mereka didenda dan dipotong kutipan mata gara-gara empat pemainnya gagal menghadiri sesi terakhir Klinik Ian Rush, 24 hingga 26 Mac lalu.
Empat pemain terbabit ialah Safee Sali, Indra Putra Mahayuddin, Akmal Rizal Rakhli dan Amirul Hadi Zainal.
Jawatankuasa Disiplin FAM mengambil keputusan mendenda Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) sebanyak RM20,000, ketua jurulatih Selangor, Dollah Salleh sebanyak RM10,000 dan keempat-empat pemain berkenaan sebanyak RM1,000 setiap seorang.
Tidak cukup dengan itu, Selangor turut dipotong tiga mata bagi Liga Super sekali gus menyebabkan pungutan 42 mata yang dimiliki mereka ketika ini turun menjadi 39 mata, tapi masih kekal di tangga kedua.
Hukuman tersebut diumumkan Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin FAM, Tan Sri Aseh Che Mat di Wisma FAM, petang semalam.
Namun, tindakan memotong tiga mata bagi Liga Super dilihat agak kurang wajar memandangkan keempat-empat pemain itu meninggalkan klinik terbabit untuk membantu Selangor menghadapi Perak dalam saingan Piala FA, 27 Mac lalu, bukannya untuk perlawanan Liga Super.
Dengan keputusan itu, Kedah pasti tersenyum gembira apabila mereka hanya perlu sekurang-kurangnya seri dengan Terengganu malam esok untuk disahkan sebagai juara Liga Super, biarpun masih berbaki tiga perlawanan selepas itu.
Bagi Selangor pula, ia pasti menyukarkan tugas mereka untuk terus kekal di tangga kedua Liga Super kerana Perak di tangga ketiga dengan 38 mata, hanya satu mata kurang daripada mereka ketika ini.
Sementara itu, Setiausaha Agung FAS, Hamidin Mohd. Amin berkata, pihaknya akan berbincang dahulu sebelum membuat sebarang rayuan kepada FAM terhadap hukuman terbabit.