Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
02.04.08

Nasib 4 pemain Selangor 10 April

Oleh: Ferzalfie Fauzi (UTUSAN MALAYSIA)

KUALA LUMPUR – Nasib empat pemain Selangor yang pulang awal pada sesi akhir klinik bola sepak Ian Rush pada 26 Mac lalu akan ditentukan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang akan diadakan pada 10 April ini.

Setiausaha Agung FAM, Lt. Jen. (B) Datuk Azzuddin Ahmad berkata, mesyuarat tersebut akan diadakan selepas FAM menerima surat penjelasan dari Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan Pengarah Koordinator klinik tersebut yang juga jurulatih kebangsaan B. Sathianathan.

‘‘Selepas menerima surat penjelasan dan laporan penuh dari kedua-dua pihak FAM akan membuat keputusan dalam mesyuarat nanti untuk menimbangkan tindakan yang perlu diambil terhadap keempat-empat pemain tersebut,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Jelasnya, setakat ini keempat-empat pemain Selangor itu Mohd. Safee Sali, Indra Putra Mahayuddin, Amirulhadi Zainal dan Akmal Rizal Rakhli masih bebas untuk bermain bersama pasukan Red Giants sehingga keputusan dikeluarkan pada mesyuarat nanti.

Difahamkan, pemain terbabit bertindak meninggalkan klinik tersebut untuk menyertai latihan skuad Selangor bagi perlawanan kedua pusingan kedua Piala FA menentang Perak di Stadium Shah Alam.

Sementara itu, Setiausaha FAS, Hamidin Mohd. Amin yang dihubungi enggan mengulas lanjut sebarang kenyataan berhubung perkara tersebut sehingga mendapat surat rasmi dari FAM.

‘‘Saya tidak mahu memberi sebarang kenyataan mengenai perkara tersebut sehinggalah menerima surat rasmi dari FAM, tumpuan sekarang terarah kepada perlawanan penting menentang pasukan pendahulu Liga Super, Kedah Sabtu ini,’’ kata Hamidin.

Ujarnya, perlawanan menentang Kedah nanti dijangka sengit yang menemukan dua pasukan gergasi kelompok teratas liga dan dijangka 30,000 penyokong kedua-dua pasukan akan memenuhi Stadium Shah Alam.

‘‘Saya menasihatkan kedua-dua penyokong datang untuk membeli tiket lebih awal bagi mengelakkan kesesakan dan kejadian yang tidak diingini berlaku, kaunter tiket akan mula dibuka seawal pukul 10 pagi,’’ jelasnya.

Pasukan Selangor yang berada di tangga kedua Liga Super dipisahkan dengan lima mata dengan pendahulu liga, Kedah dan kedua-dua pasukan mengharapkan kemenangan bagi memburu kejuaraan liga pada musim ini.