Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
11.04.08

Padah ‘cabut lari’ klinik Rush

Oleh: Mohd Fadzrie Hazis (BERITA HARIAN)

EPISOD ‘cabut lari’ empat pemain Selangor dari klinik bola sepak Ian Rush jelas membawa padah apabila pasukan Merah Kuning itu dipotong tiga mata daripada kancah Liga Super dan tambah perit Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) didenda RM20,000.

Hukuman berat itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib Lembaga Disiplin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam yang turut menyaksikan jurulatih, Dollah Salleh dikenakan denda RM10,000 manakala empat pemain - Safee Sali, Indra Putra Mahayuddin, Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Amirul Hadi Zainal - masing-masing didenda RM1,000 setiap seorang.

Namun, yang menjadi tajuk bicara di sini kenapa skuad Liga Super dipotong tiga mata ketika kesalahan itu - sebagaimana dilaporkan sebelum ini - ada kaitan dengan perlawanan Piala FA apabila empat pemain itu diminta pulang ke sesi latihan pada 26 Mac lalu.

Bagi Setiausaha Agung FAS, Hamidin Mohd Amin, dia mengakui amat terkejut dengan hukuman yang dikenakan terhadap pihaknya, namun tetap menghormati keputusan mesyuarat jawatankuasa itu yang dipengerusikan Tan Sri Aseh Che Mat dan akan membuat rayuan menerusi saluran yang betul.

"Saya tidak mahu ulas sama ada ia relevan atau tidak untuk memotong tiga mata pasukan kami dalam Liga Super, tetapi saya akan berbincang hal ini dengan ahli majlis dan Presiden FAS. Kami akan mengemukakan rayuan menerusi Jawatankuasa Rayuan," kata Hamidin.

Hukuman yang dikenakan ke atas FAS jelas kelihatan amat berat, apatah lagi empat pemainnya hanya menghadiri klinik bola sepak dan bukannya latihan pusat skuad kebangsaan.

Namun, Aseh menjelaskan hukuman berat dijatuhkan kepada FAS adalah kerana FAM memandang serius kesalahan itu dan menegaskan setiap peraturan harus dipatuhi setiap persatuan negeri.

"Kami memandang serius tindakan Dollah memanggil keempat-empat pemain itu pulang, ia seperti tidak menghormati penganjur yang mengadakan klinik itu dan jika tidak diambil tindakan ia menunjukkan FAM tidak bertindak tegas dalam soal disiplin.

"Dalam kes ini, FAS tidak memperoleh kebenaran daripada FAM untuk memanggil keempat-empat pemain itu pulang, " kata Aseh ketika sidang media di Wisma FAM, semalam.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad pula menegaskan cadangan untuk mengadakan klinik bola sepak itu sudah diputuskan dalam exco FAM dan ahli exco terdiri daripada ahli gabungan negeri tetapi rasa kurang senang terhadap waktu klinik itu diadakan tidak dibangkitkan.

Menurut Azzuddin, klinik kendalian Ian Rush itu dianggap penting untuk pembangunan bola sepak dan segala tindakan dikenakan terhadap FAS adalah mengikut Peraturan Status dan Perpindahan Pemain 2007-2008.

Walau apapun hujah penjelasan FAM, ia jelas hukuman yang amat berat terhadap FAS dan perkara ini sebenarnya mampu dielakkan seandainya Malaysia Super League (MSL) Berhad, pihak yang menganjurkan klinik itu tidak memilih untuk mengadakannya di tengah-tengah kesibukan liga.