02.04.08
Peluang terakhir Selangor
Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)
PERTEMUAN antara Selangor dengan Kedah di Stadium Shah Alam Sabtu ini boleh diibaratkan sebagai medan terakhir buat skuad Gergasi Merah itu mengintai peluang bergelar juara Liga Super.
Berbaki lima perlawanan, Kedah selaku juara bertahan kini masih unggul di tangga pertama dengan 47 mata sementara Selangor di tangga kedua dengan 42 mata.
Jika Selangor menang Sabtu ini, skuad kendalian Dollah Salleh itu pasti berada di landasan terbaik untuk muncul juara Liga Super.
Di atas kertas, Selangor perlu menang dalam semua baki empat perlawanan bertemu Pulau Pinang, Sarawak, Johor FC dan Negeri Sembilan Naza sambil berharap Kedah tewas dalam salah satu daripada empat perlawanan terakhir mereka ketika bertemu Terengganu, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pahang dan Perlis.
Andai teori di atas benar-benar berlaku, Selangor bakal muncul juara Liga Super dengan mengumpul maksimum 57 mata manakala Kedah akan jatuh ke tangga kedua dengan hanya 56 mata.
Semua itu hanya akan berlaku sekiranya Selangor meneruskan rentak kemenangannya Sabtu ini kerana jika mereka tewas atau seri sekalipun dengan Kedah, impian menjuarai Liga Super akan lebur sama sekali.
Selain pertembungan taktikal antara dua jurulatih tempatan, Dollah Salleh bagi Selangor dan Mohd. Azraai Khor Abdullah bagi Kedah, aksi Sabtu ini juga bakal menyaksikan jentera serangan mana lebih berbisa.
Selangor mempertaruhkan Frank Seator yang sudah meledak 13 gol dalam Liga Super setakat ini dengan dibantu Mohd. Safee Sali (10), Akmal Rizal Rakhli (4) dan Indra Putra Mahayuddin (3).
Kedah pula diterajui penjaring terbanyak Liga Super setakat ini, Marlon Alex James dengan 21 gol, Badrul Bakhtiar (8), Hasmawi Hassan (5), Khyril Muhymeen (4) dan penyerang muda sensasi, Fadly Baharom (3).
Untuk rekod, pertemuan Selangor-Kedah sejak musim 2002 menyaksikan daripada sepuluh pertemuan, Kedah menang lima kali manakala Selangor menang dua kali dan tiga pertemuan berakhir dengan seri.