Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
14.04.08

Pemain Selangor tidak komited?

Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)

KEKALAHAN 1-4 Selangor kepada Pulau Pinang pada aksi Liga Super malam kelmarin dikatakan berpunca daripada sikap tidak komited pemain yang diturunkan.

Rata-rata peminat serta penyokong setia skuad Merah Kuning beranggapan aksi anak buah Dollah Salleh malam kelmarin adalah yang terburuk sepanjang musim ini.

"Saya tengok pemain-pemain langsung tak tunjukkan komited terhadap permainan. Mereka beraksi tanpa naluri untuk menang dan hanya main ala kadar.

"Tak sepatutnya berlaku jika mereka benar-benar pemain profesional.

"Kami menempuhi perjalanan hampir 400 kilometer selama lima jam tapi dibalas dengan aksi sebegini, memang kecewa," kata Erwan Ahmad, seorang penyokong setia Selangor yang ditemui Kosmo! di luar stadium selepas perlawanan tamat malam kelmarin.

Salah satu punca kepada kemerosotan prestasi Selangor itu dikatakan hukuman denda RM34,000 dan pemotongan tiga mata oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akibat kesalahan empat pemainnya yang gagal menghadiri sesi terakhir Klinik Ian Rush bulan lalu.

"Selepas mereka beraksi dengan bersungguh-sungguh lawan Kedah tetapi tewas 0-1, mungkin mereka dah tiada semangat.

"Ditambah pula kekalahan dengan Kuala Muda Naza 0-1 pada suku akhir pertama Piala FA selepas itu.

"Saya harap sangat, pemain dapat segera membina kembali semangat dan keyakinan dalam diri kerana tak perlulah mereka terus bersikap lesu sebegini. Jika tidak, dalam saingan Piala FA pun kita akan tersingkir nanti," jelas penyokong setia Selangor, Firdaus Abdul Mutalib,

Selangor mempunyai tempoh lima hari bagi memulihkan keadaan sebelum turun menentang Sarawak Sabtu ini.

"Pemain-pemain tak boleh terus begini. Pihak pengurusan dan jurulatih perlu mengadakan pertemuan dari hati ke hati untuk mencari apa masalah sebenarnya dalam minda para pemain ini.

"Jangan jadi seperti musim 2005/06, kita dah tengok apa jadi bila pemain beraksi serba tak bermaya sedangkan musim sebelumnya (2005) kita menang tiga piala dengan barisan pemain yang sama," ujar seorang lagi penyokong yang hanya mahu dikenali sebagai Halim.