Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
22.04.08

Piala FA: Selangor 4-1 Kuala Muda Naza

Oleh: pippo (SELANGORFC.COM)

Juara empat kali Selangor melangkah ke separuh akhir Piala FA apabila menewaskan Kuala Muda Naza 4-1 dalam perlawanan suku akhir kedua Piala FA di Stadium Shah Alam malam tadi. Selangor yang tewas 0-1 di pusingan pertama di Alor Star dua minggu lalu mara dengan agregat 4-2.

Lawan Selangor di separuh akhir nanti adalah Terengganu yang berjaya menewaskan Felda United juga 4-2 secara agregat. Satu lagi perlawanan separuh akhir menyaksikan juara bertahan Kedah bertemu Pahang.

Kuala Muda Naza yang berhasrat mencipta kejutan berbekalkan kemenangan tipis di pusingan pertama dikejutkan melalui tandukan penyerang Selangor Frank Seator ketika perlawanan baru berusia 75 saat yang sama sekali menewaskan Azizon Kadir.

Dengan kelebihan tipis lawan dipadamkan sebegitu awal, Selangor kian bernafsu menyerang bagi mencari gol tambahan namun terpaksa menunggu sehingga minit ke-19 sebelum berjaya meraihnya. Hasil sepakan sudut Elie Aiboy, penyerang kebangsaan Safee Sali berjaya mencuri ruang sebelum meledakkan jaringan sekaligus menamatkan kemarau jaringan beliau di Stadium Shah Alam sejak 27 Mac lalu bagi menjadikan kedudukan 2-0.

Selang 8 minit kemudian, Safee menjadikan kedudukan 3-0 hasil sepakan kencang dari jarak 30 meter yang menggembirakan kira-kira 5,000 peminat Selangor yang mengharungi hujan untuk hadir ke stadium memberikan sokongan. Kedudukan kekal sehingga pengadil meniupkan wisel menandakan tamat separuh masa.

Jika Selangor mengamalkan corak permainan pantas di separuh masa pertama, aksi babak kedua sedikit longlai ketika anak-anak buah Dollah Salleh tampak yakin dengan kelebihan yang dimiliki. Hasilnya pasukan pelawat mengambil kesempatan menjaringkan gol pada minit ke 63 melalui Liew Kit Kong ketika pertahanan Merah Kuning gagal mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya.

Menyedari satu gol lagi membolehkan mereka menyingkirkan Selangor hasil kelebihan jaringan di tempat lawan, anak buah K Devan menyerang bertubi-tubi ke kubu tuan rumah. Namun amat menghairankan jurulatih Dollah Salleh menunggu hingga minit ke 75 sebelum membuat poertukaran pertamanya memasukkan Akmal Rizal Rakhli bagi menggantikan Frank Seator.

Kemasukan Akmal sedikit membantu membantutkan hasrat pertahanan Kuala Muda bagi membantu serangan namun selepas beberapa cubaan melakukan serangan pantas mudah dipatahkan dan barisan tengah yang kerap kehilangan bola memaksa Dollah membuat dua lagi pertukaran dengan memasukkan Amirul Hadi Zainal dan Fadzirul Zakaria menggantikan Elie Aiboy dan Zaiza Zainal Abidin.

Hasilnya pada minit ke 90 Amirul menjaringkan gol keempat Selangor sekaligus menamatkan sisa-sisa perjuangan pasukan pelawat. Perlawanan berkesudahan dengan Selangor menewaskan Kuala Muda Naza dengan 4-1.

SELANGOR:

22-MEGAT AMIR FAISAL, 17-AMRI YAHYAH, 2-ZAIZA ZAINAL ABIDIN (6-FADZIRUL ZAKARIA), 4-EVANS CHISULO, 15-P.GUNALAN, 8-ELIE AIBOY (24-AMIRUL HADI ZAINAL), 25-SHUKOR ADAN, 28-SAFIQ RAHIM, 23-INDRA PUTRA MAHAYUDDIN, 9-FRANK SEATOR (14-AKMAL RIZAL RAKHLI), 10-SAFEE SALI

 

JADUAL SEPARUH AKHIR PIALA FA 2007/08:

PERLAWANAN PERTAMA - RABU, 11 JUN:

SELANGOR lwn TERENGGANU

Stadium Shah Alam

KEDAH lwn PAHANG

Stadium Darulaman

PERLAWANAN KEDUA - SABTU 14 JUN:

TERENGGANU lwn SELANGOR

Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah

PAHANG lwn KEDAH

Stadium Darul Makmur