13.04.08
Pulau Pinang 4-1 Selangor
Oleh: BERNAMA
JUARA musim lepas Kedah menjulang piala liga elit Malaysia bagi musim 2007/2008 buat kali kedua berturut-turut selepas menumpaskan Terengganu 2-1 dalam saingan Liga Super yang berlangsung Sabtu malam.
Skuad Kenari yang sebelum ini mengumpul 50 mata daripada 20 perlawanan hanya memerlukan satu mata bagi memastikan Piala Liga Super terus dalam genggaman mereka ketika saingan terdekat Selangor yang sebelum ini mengutip 42 mata, kehilangan tiga mata selepas dihukum oleh jawatankuasa disiplin Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Pasukan Red Giants bagaimanapun mempunyai masa selama 14 hari bermula Khamis lepas untuk merayu kepada jawatankuasa itu untuk mengekalkan tiga mata tersebut, akibat hukuman angkara jurulatihnya Dollah Salleh yang mengarahkan empat orang anak buahnya meninggalkan kem latihan yang dikendalikan bekas penyerang Liverpool, Ian Rush, bagi memberi perhatian kepada saingan Piala FA.
Namun sekiranya rayuan tersebut diterima, kedudukan Kedah selaku juara Liga Super tidak berubah sementara perebutan gelaran naib juara masih terbuka antara Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Johor FC ketika saingan liga elit Malaysia itu masih berbaki tiga perlawanan lagi.
Namun kekalahan Selangor malam tadi membolehkan Negeri Sembilan menduduki tangga kedua selepas mengumpul 39 mata, sama seperti Selangor tetapi dengan kelebihan satu jaringan, diikuti Perak di tempat ketiga (38) dan Johor FC (37).
Di Stadium Darulaman, Kedah mengutip tiga mata penuh untuk menjulang Liga Super dengan menewaskan Terengganu 2-1.
Gol pertama skuad Kenari dijaringkan penyerang import, Marlon Alex James pada minit ke-21 menerusi sepakan percuma di luar kotak penalti selepas bola terkena tangan seorang pemain pertahanan pasukan pelawat.
Terengganu berjaya mengikat pasukan tuan rumah pada minit ke-49 menerusi Mohd Ashaari Shamsudin yang membuat hantaran satu dua dengan Mohd Nor Farhan hingga memperdayakan beberapa pemain pertahanan Kedah sebelum merembat kencang menewaskan penjaga gol, Mohd Helmi Eliza Elyas.
Kedah memperkukuhkan kedudukan apabila Connellius Bernard Huggins menanduk masuk gol kedua pada min ke-87 hasil sepakan sudut yang diambil Nelson Sam Martin.
Di Stadium Bandaraya, pasukan tercorot liga, Pulau Pinang membelasah Selangor 4-1.
Tuan rumah membuka jaringan pada minit ke-28 hasil sepakan kencang dari luar kotak penalti oleh Mohd Azrul Ahmad sebelum Amir Shahree Abdul Mubin menjaringkan gol kedua pada min ke-59.
Mohd Azrul sekali lagi membocori gawang Selangor pada min ke-64 sebelum Mohd Farizal Rozali melebarkan jaringan pada min ke-70.
Gol tunggal Red Giants dijaringkan oleh Mohd Safee Sali pada min ke-63.
Di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan membenam Perak 3-1.
Jaringan pembukaan pasukan tuan rumah disempurnakan Mohd Zaquan Adha Razak yang bertindak bijak memperdayakan dua pertahanan Perak sebelum menewaskan penjaga gol Perak Hamsani pada minit ke-23.
Jaringan kedua skuad Rusa adalah hasil tandukan penyerang import Udo Fortune pada minit akhir separuh masa pertama sebelum Lamin Conteh menambah gol bila menyempurnakan sepakan penalti pada min ke-54.
Gol sagu hati pasukan pelawat diperolehi menerusi penyerang importnya Carlos Caceres pada minit ke-80.
Di Stadium JCorp, Pasir Gudang, dua jaringan Mohd Riduan Maon pada min ke- 19 dan ke-27 membolehkan Johor FC menumpaskan UPB-MyTEAM 2-1.
Gol tunggal pelawat dijaringkan oleh Edvaldo Goncalves Pereira pada min ke -72.
Di Stadium Sarawak, pertemuan dua musuh tradisi berpihak kepada pasukan pelawat apabila tuan rumah Sarawak tumpas 0-1 kepada Brunei DPPM.
Gol tunggal perlawanan diperolehi pada minit ke-20 separuh masa pertama menerusi tandukan penyerang Brunei DPMM, Mohd Shahrazin Md Said.
Di Stadium Utama, Perlis mencatat kemenangan bergaya selepas menumpaskan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) 4-0.
Penyerang import, Chena Gustavo Roberta membuka tirai jaringan apabila menyumbangkan gol semangat kepada pasukan tuan rumah pada minit ke-12 melalui rembatannya.
Pasukan pelawat terus derita apabila gawangnya terus dibolosi hasil rembatan kencang Mohd Ridzuan Othman pada minit ke-53, Azi Shahril Azmi pada minit ke-60 dan Philimon Chipeta pada minit ke-73.
KESEBELASAN UTAMA SELANGOR:
21-MOHD. SUFFIAN ABDUL RAHMAN, 17-AMRI YAHYAH, 2-ZAIZA ZAINAL ABIDIN, 4-EVANS CHISULO (6-FADZIRUL ZAKARIA), 15-P.GUNALAN, 8-ELIE AIBOY 25-SHUKOR ADAN, 28-SAFIQ RAHIM (27-ASRARUDDIN PUTRA OMAR), 23-INDRA PUTRA MAHAYUDDIN, 10-SAFEE SALI, 14-AKMAL RIZAL RAKHLI (19-D.SURENDRAN)