05.04.08
Saingan ibarat perlawanan akhir
Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)
KETUA jurulatih Selangor, Dollah Salleh menyifatkan pertemuan Liga Super menentang Kedah di Stadium Shah Alam malam ini ibarat perlawanan akhir.
"Sudah pasti kita tidak akan memberi laluan mudah kepada Kedah untuk mengutip sebarang mata.
"Diharap juga penyokong Selangor dapat hadir beramai-ramai bagi menaikkan semangat pemain kita untuk misi membalas dendam ini," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Dollah yang mahu membalas kekalahan 2-6 Selangor kepada Kedah di Stadium Darul Aman pada pusingan pertama lalu menganggap, keputusan itu tidak boleh dijadikan ukuran kemampuan sebenar Selangor.
"Ketika kekalahan itu, ia baru perlawanan kelima Liga Super dan kita masih mencari susunan pemain terbaik dan barisan pemain pun belum lengkap.
"Berlainan dengan sekarang, kita betul-betul sudah bersedia untuk menang," ujarnya.
Menurut Dollah, 45, hanya pemain bek tengah, Razman Roslan tidak dapat beraksi malam ini kerana masih cedera dan tempatnya akan diisi pemain muda, Nasriq Baharom.
Sementara itu, bek kanan Selangor, Mohd. Amri Yahyah (gambar) melaungkan amaran bahawa penyerang Kedah, Marlon Alex James dan barisan serangan pasukan itu akan dirantai sepanjang aksi malam ini.
"Saya tidak gentar berhadapan dengan Kedah. Malah, rasa teruja dan ghairah untuk kembali beraksi, lebih-lebih lagi dalam perlawanan penting ini," kata Amri yang kembali beraksi selepas penggantungan satu perlawanan kerana mengumpul tiga kad kuning.
Anak jati Selangor berusia 27 tahun itu tidak beraksi ketika Selangor dibelasah Kedah 2-6 pada perlawanan pusingan pertama lalu kerana ia bertembung dengan majlis perkahwinannya di Tanjung Karang.
"Memang geram bila mengenangkan Selangor dibelasah di Alor Star. Kini saya sudah bersedia 100 peratus untuk membalas dendam terhadap kekalahan itu," jelasnya.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Hamidin Mohd. Amin memberitahu, tiket akan dijual bermula pukul 10 pagi ini di kaunter di pintu masuk utama stadium.
"Kami jangka lebih 40,000 penyokong akan hadir esok (malam ini) dan insya-Allah Presiden FAS (Tan Sri Khalid Ibrahim) juga akan turun menyaksikan perlawanan ini," katanya ketika dihubungi semalam.