Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
19.04.08

Seator kembali beraksi

Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)

FRANK SEATOR kembali memantapkan jentera serangan Selangor.

Penyerang yang berasal dari Liberia itu tidak beraksi ketika Selangor tewas 1-4 kepada Pulau Pinang minggu lalu namun kini dia lebih bersedia dan akan kembali dalam kesebelasan utama pada perlawanan menentang Sarawak di Stadium Shah Alam malam ini.

Seator, 32, membayangkan perlawanan itu nanti bakal menjadi medan buat Selangor kembali menampilkan aksi bertenaga seterusnya mencatat semula kemenangan setelah tewas tiga perlawanan berturut-turut.

"Kita kena menang esok (malam ini) untuk terus kekal di tangga kedua Liga Super ketika saingan masih ada baki tiga perlawanan lagi.

"Kemenangan ke atas Sarawak juga penting untuk menaikkan semangat pasukan menjelang perlawanan suku akhir kedua Piala FA bertemu Kuala Muda Naza Selasa nanti," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurut Seator, aksi sulungnya bersama Selangor musim ini juga ketika bertemu Sarawak iaitu pada pusingan pertama di Kuching (18 Disember lalu) di mana dua jaringannya membantu Selangor menang 2-0.

"Esok (malam ini) saya mahu ulangi kejayaan itu dan berazam menambah koleksi gol," ujarnya yang kini berada di tangga ketiga dalam senarai penjaring terbanyak dengan 13 gol di belakang Marlon Alex James (22 gol) dan Carlos Caceres (16 gol).

Seator turut beranggapan moral rakan-rakan sepasukannya kini sudah kembali pulih selepas mereka mendapat rehat yang cukup sepanjang minggu ini.

"Tewas tiga kali dan ditambah pula kepenatan pergi balik ke Alor Star dan Pulau Pinang sebelum ini saya rasa mereka (pemain) kini sudah kembali bertenaga untuk menewaskan Sarawak. Tengok sajalah nanti," katanya.

Jurulatih Selangor, Dollah Salleh dijangka kembali menggandingkan Seator dan Safee Sali malam ini selepas gandingan itu dipecahkan dalam dua aksi lalu kerana masing-masing digantung satu perlawanan.