20.04.08
Selangor 4-1 Sarawak
Oleh: UTUSAN MALAYSIA
SELANGOR dan Negeri Sembilan Naza terus bersaing bagi perebutan naib juara bola sepak Liga Super musim ini apabila menang ke atas lawan masing- masing, semalam.
Selangor yang dimalukan 1-4 oleh Pulau Pinang minggu lalu, sehingga terlepas peluang kejuaraan liga bangkit dengan kemenangan 4-1 ke atas Sarawak di Stadium Shah Alam.
Frank Seator memulakan pesta gol Selangor pada minit ke-27 diikuti dua gol Shukor Adan pada minit ke-31 dan ke-85 serta Akmal Rizal Rakhli minit ke-90.
Gol sagu hati pelawat dijaringkan Zamri Marshidi minit ke-85.
Kemenangan itu membolehkan Selangor mengumpul 45 mata.
Begitupun, kedudukan mata di tangga kedua itu tidak mengambil kira hukuman pemotongan tiga mata yang dikenakan terhadap Selangor oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang masih dalam proses rayuan.
NS Naza terus menghambat Selangor selepas mengutip tiga mata penuh apabila menang 2-0 ke atas UPB My-Team di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya.
Jaringan Mohd. Aidil Zafuan (m-77) dan S. Kunalan (m-85) memastikan NS Naza mengutip mata ke-42, hanya tiga mata dipisahkan dengan Selangor.
Sementara itu, Johor FC mengambil alih kedudukan Perak, yang tidak beraksi, semalam di tangga keempat apabila menang 2-0 ke atas Brunei DPMM di Stadium Hasanal Bolkiah.
Johor FC memperoleh gol menerusi Walter Ariea Silva minit ke-26 dan Eddy Helmi Manan minit ke-63.
SELANGOR:
22-MEGAT AMIR FAISAL, 17-AMRI YAHYAH, 2-ZAIZA ZAINAL ABIDIN, 4-EVANS CHISULO, 15-P.GUNALAN, 8-ELIE AIBOY (11-R.SURENDRAN), 25-SHUKOR ADAN, 28-SAFIQ RAHIM, 23-INDRA PUTRA MAHAYUDDIN (24-AMIRUL HADI ZAINAL), 9-FRANK SEATOR, 10-SAFEE SALI (14-AKMAL RIZAL RAKHLI)