15.04.08
Selangor akan buat rayuan ringankan denda
Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)
PERSATUAN Bola Sepak Selangor (FAS) mengesahkan mereka akan mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam masa terdekat ini.
Setiausaha Agung FAS, Hamidin Mohd. Amin berkata, pihaknya baru saja menerima surat hukuman merangkumi denda berjumlah RM34,000 dan pemotongan tiga mata Liga Super itu daripada FAM semalam.
"Hari ini (semalam) kita baru terima surat itu daripada FAM. Jadi, kita akan mula menyediakan dokumen bagi membuat rayuan berhubung hukuman yang telah dikenakan itu," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Pada Khamis lalu, Jawatankuasa Disiplin FAM menjatuhkan hukuman tersebut selepas empat pemain Selangor - Akmal Rizal Rakhli, Indra Putra Mahayuddin, Mohd. Safee Sali dan Mohd. Amirul Hadi Zainal 'cabut lari’ daripada sesi terakhir Klinik Ian Rush pada 26 Mac lalu.
Menurut Hamidin, rayuan tersebut nanti akan dibuat mengikut segala prosedur yang telah ditetapkan oleh FAM.
"Kita buat rayuan ini kerana beranggapan kita ada fakta-fakta yang kukuh dalam kes ini bagi membolehkan hukuman tersebut dapat dikurangkan," jelasnya.
Namun, Hamidin tidak memberitahu bila surat rayuan tersebut akan dihantar ke FAM tetapi berkata, ia akan dihantar sebelum berakhirnya tempoh 14 hari bermula tarikh hukuman (10 April) seperti ditetapkan FAM.
Dalam pada itu, ketika ditanya tentang prestasi para pemain Selangor yang seolah-olah tidak komited ketika turun beraksi menentang Pulau Pinang Sabtu lalu, Hamidin enggan mengulas lanjut.
"Kita akan buat sesuatu untuk memulihkan keadaan. Tapi tak perlulah saya beritahu," ujarnya yang nyata masih kecewa dengan kekalahan memalukan 1-4 kepada Pulau Pinang itu.