12.04.08
Selangor hanya mahu menang
Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)
SELANGOR hanya fokus untuk memburu kemenangan apabila mereka turun bertemu pasukan tercorot Liga Super, Pulau Pinang di Stadium Bandaraya malam ini.
Ketua jurulatih Selangor, Dollah Salleh mahu dirinya dan anak-anak buahnya menolak tepi seketika perkara-perkara lain yang membelenggu pasukannya sepanjang minggu ini.
"Kita tak nak fikirkan sangat apa yang telah berlaku. Yang penting, kita perlu fokus sepenuhnya kepada perlawanan ini saja," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Jelas Dollah, kemenangan ke atas Pulau Pinang malam ini penting bagi mengembalikan semula moral pasukan setelah mereka tewas dua perlawanan berturut-turut kepada Kedah (0-1) Sabtu lalu dan Kuala Muda Naza (0-1) Selasa lalu.
"Tak guna juga kalau kita main baik seperti lawan Kedah dan Kuala Muda tapi keputusan tak memihak kepada kita. Jadi, kita kena cari gol dan menang untuk tutup dua kekalahan tersebut," ujarnya.
Kelmarin, nasib malang Selangor berterusan apabila mereka didenda dan dipotong tiga mata selepas didapati bersalah kerana empat pemain mereka tidak melengkapkan Klinik Ian Rush selepas Dollah memanggil mereka pulang sejurus sebelum sesi terakhir.
"Masalah tersebut mungkin sedikit menggangu tumpuan para pemain ketika ini. Tapi sebagai pemain profesional, mereka perlu tahu yang kita perlu menang ke atas Pulau Pinang," katanya.
Dollah turut menolak kemungkinan untuk membariskan pemain-pemain simpanan saja dalam kesebelasan utama malam ini setelah hasrat menyaingi Kedah untuk menjuarai Liga Super kini sudah tertutup.
"Saya akan tetap letakkan barisan terkuat, cuma Frank Seator saja yang digantung satu perlawanan. Kita masih perlu menang dalam baki empat perlawanan ini untuk kekal di tangga kedua," jelasnya.
Setelah tiga mata mereka dipotong kelmarin, Selangor kini mengumpul 39 mata dan kedudukan mereka masih boleh dicabar pasukan di tangga ketiga, Perak (38), Negeri Sembilan Naza (36), Terengganu (34) dan Johor FC (34).