Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
10.04.08

Selangor kena denda, potong tiga mata

Oleh: misai11 (selangorfc.com)

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil tindakan tegas terhadap Selangor berhubung kes empat pemainnya iaitu Safee Sali, Indra Putra Mahayuddin, Akmal Rizal Rakhli dan Amirul Hadi Zainal yang gagal melengkapkan klinik kendalian Ian Rush, 24-26 Mac lalu.

Hukuman yang dijatuhkan petang tadi itu merangkumi denda RM20,000 kepada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), denda RM10,000 buat jurulatih Dollah Salleh dan denda RM1,000 bagi setiap pemain.

Tidak cukup dengan itu, tiga mata pasukan Selangor dalam saingan Liga Super turut dipotong, sedangkan pemain-pemain berkenaan meninggalkan sesi latihan terakhir kem terbabit untuk menghadapi perlawanan Piala FA menentang Perak, bukannya bagi perlawanan Liga Super.

Sebelum ini, Selangor sudah mengumpul 42 mata untuk berada di kedudukan kedua Liga Super dan keputusan petang tadi itu menyaksikan mereka kini hanya memperolehi 39 mata, satu mata lebih daripada pasukan di tangga ketiga, Perak.

Ia sekali gus memudahkan tugas Kedah yang kini hanya perlu mencatat keputusan seri dengan Terengganu Sabtu ini untuk menjuarai Liga Super, biarpun masih berbaki tiga perlawanan selepas itu.