14.04.08
Selangor takut bayangan Negeri Sembilan
Oleh: Mohd Fadzrie Hazis (BERITA HARIAN)
IBARAT jatuh ditimpa tangga. Itulah nasib dialami Selangor yang seperti sudah hilang arah permainan apabila tewas kepada Pulau Pinang dalam saingan Liga Super, kelmarin - dua hari selepas dipalit duka gara-gara hukuman keras Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Dengan mahkota kejuaraan liga sudah sah menjadi miliki Kedah, kini skuad Merah Kuning hanya mampu mengejar kedudukan selaku naib juara tetapi mula gelisah dengan kelibat Negeri Sembilan yang mengatasi Perak 3-1 untuk menghambat mereka sehingga ke garisan penamat.
Selangor kini menghimpun 42 mata daripada 21 perlawanan, Negeri Sembilan mengekori rapat dengan 39 mata daripada jumlah perlawanan sama dengan kedua-dua pesaing itu berbaki tiga perlawanan lagi.
Pada firasat penyerang Selangor, Akmal Rizal Ahmad Rakhli masalah luar padang dialami pasukan tidak mengganggu tumpuan pemain tetapi tidak menolak kemungkinan moral mereka agak menurun selepas kekalahan kepada Kedah 1-0 pada aksi Liga Super, 5 April lalu.
Bekas penyerang kebangsaan itu menyedari tugas getir kini menanti pasukannya yang harus memenangi semua baki perlawanan Liga Super, bermula dengan pertemuan dengan Sarawak pada 19 April ini, Johor FC (26 April) sebelum membuat perhitungan terakhir dengan Negeri Sembilan (3 Mei) di Stadium Shah Alam.
"Saya tidak menafikan selepas kekalahan kepada Kedah, moral pemain sedikit menurun kerana kekecewaan gagal memintas Kedah di tangga teratas tetapi masalah lain yang dialami tidak menjejaskan kami.
"Tetapi kini kami harus menang baki tiga perlawanan selepas ini, bagi mengesahkan kedudukan di tempat kedua dan bagi saya, Negeri Sembilan adalah pasukan yang wajar diberi perhatian kerana mereka mula mempamerkan peningkatan dengan menewaskan Perak semalam (kelmarin)" katanya.