05.04.08
Serik kena bedal
Oleh: Alias Abd Rani (HARIAN METRO)
SIAPAKAH sebenarnya layak bergelar ‘raja’ Liga Super dan gelaran itu semakin hampir diketahui apabila skuad bimbingan Dollah Salleh dan Mohd Azraai Khor Abdullah beradu kekuatan masing-masing di Stadium Shah Alam, malam ini.
Menariknya, skuad bimbingan Dollah Salleh turun dengan penuh keyakinan bukan seperti mana ketika mereka dibelasah 2-6 oleh Kedah pada perlawanan pertama di Alor Star.
Berbanding Kedah, hanya berapa kerat pemain dapat diturunkan lantaran skuad Hijau Kuning dilanda masalah kecederaan besar pemain utama.
Tapi, Selangor sudah tentu boleh tersenyum lebar jika mendapat tahu berita itu kerana ia memudahkan tugas menyekat kemenangan juara bertahan itu daripada meragut tiga mata penuh bagi membuka ruang merampas kejuaraan walaupun dengan berbaki empat perlawanan.
"Bagi saya walaupun ia perlawanan liga seolah-olah pertembungan pada perlawanan akhir. Masing-masing sudah tentu akan mempertahankan rekod cemerlang seperti sebelum ini.
"Pasukan saya turun berlandaskan matlamat utama iaitu kemenangan. Jika kami dibelasah pada perlawanan pertama kami juga mahu membelasah (Kedah) dalam perlawanan ini.
"Jika tidak menang, pintu ke puncak liga terus tertutup. Sebab itulah dengan kelebihan beraksi di tempat sendiri selain menerima sorakan peminat, saya yakin ia sebagai pengubat kepada matlamat kami.
"Saya tidak mahu bercakap tentang perlawanan lalu. Bagi saya, pasukan ini sentiasa menumpu kepada perlawanan akan datang termasuk malam ini," kata Dollah.
Namun, situasi berbeza menimpa pasukan Kedah dengan kunjungan mereka ke Shah Alam seolah-olah tempang berikutan ketiadaan beberapa tonggak utama.
Azraai dengan rendah diri berkata, situasi tidak begitu memihak kepada pasukannya kerana tidak dapat menurunkan sepenuhnya kesebelasan utama.
"Kami kehilangan Hasmawi (Hassan), kapten pasukan, A Victor, Mohd Khyril (Muhymeen Zambri), Shafiq (Jamal).
"Kepulangan pasukan kami dari Hong Kong dalam keadaan lesu. Kebetulan kami pula berdepan perlawanan sengit. Badrul pula ke Chelsea.
"Justeru, lebih tepat kami katakan Kedah berada dalam keadaan tempang. Anda tengoklah berapa sangat pemain yang ada," katanya.
Namun, di sebalik kegelisahan itu, Azraai tetap menaruh kepercayaan kepada pemain muda bagi menghadapi ujian itu.
"Kami menang dalam perlawanan lalu tapi bukan dengan pasukan (Selangor) yang ada sekarang. Jadi, boleh dikatakan kelebihan ada pada mereka. Kalau menang satu bonus untuk anak buah saya," katanya.
Mesti menang
SELANGOR tidak mempunyai sebarang pilihan kecuali keluar sebagai pemenang kerana jika bukan itu keputusan bakal mereka perolehi, maka impian untuk bergelar juara Liga Super musim ini sudah boleh dianggap berkubur.
Dengan baki empat perlawanan selepas mengambil kira pertemuan dua pasukan teratas liga itu malam ini, Selangor seharusnya bijak menggunakan peluang beraksi di tempat sendiri untuk mengatasi Kedah.
Selangor kini ketinggalan lima mata di belakang Kedah yang mengumpul 47 mata hasil 19 perlawanan.
"Kami tidak mempunyai pilihan selain menang. Saya rasa semua pemain juga sedar akan hakikat itu kerana jika kami gagal menyekat kemaraan Kedah, maka kami akan berputih mata menyaksikan gelaran musim ini terlepas ke tangan lawan.
"Memang sukar bagi kami untuk mengatasi Kedah kerana pasukan itu mempamerkan persembahan yang mantap musim ini tetapi bermain di gelanggang sendiri pastinya menghadirkan sedikit kelebihan buat kami.
"Apa yang penting, kami mengharapkan supaya penyokong Selangor akan memenuhi setiap inci Stadium Shah Alam kerana kami yakin dengan sokongan padu yang diberikan, pemain kami akan mendapat suntikan semangat," kata Hamidin Mohd Amin (gambar) yang sedang memangku jawatan selaku pengurus skuad Selangor.
Walaupun yakin Selangor mampu sekurang-kurangnya mengumpul sembilan mata hasil empat perlawanan terakhir itu, Hamidin pantas mahu merujuk kepada kelebihan yang bakal diperoleh Kedah pada baki empat perlawanan terakhir pasukan Kenari itu.