22.04.08
Suffian kembali ambil posisi penjaga gol Selangor
Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)
KETIKA aksi bertemu Sarawak Sabtu lalu, penyokong setia Selangor tertanya-tanya ke mana menghilangnya penjaga gol utama mereka, Mohd. Suffian Abdul Rahman.
Ini kerana, ketua jurulatih Selangor, Dollah Salleh hanya menurunkan penjaga gol kedua, Megat Amir Faisal Ibrahim dalam kesebelasan utama manakala penjaga gol ketiga, Muhammad Nuraizat Abdul Aziz pula diletakkan di bangku simpanan.
Menjelaskan keadaan itu, Suffian, 30, berkata, dia tidak dapat beraksi Sabtu lalu bukan disebabkan kecederaan atau lain-lain masalah, tetapi telah mengalami demam panas selepas perlawanan bertemu Pulau Pinang pada 12 April lalu.
"Tiga hari saya tidak turun berlatih kerana demam panas. Baru Khamis lepas saya kembali berlatih dan kini sudah bersedia sepenuhnya untuk diturunkan," katanya.
Khidmat Suffian pastinya ditagih malam ini apabila Selangor turun bertemu Kuala Muda Naza pada perlawanan suku akhir kedua Piala FA di Stadium Shah Alam bagi memadamkan kelebihan agregat 1-0 yang dimiliki kelab dari Kedah itu hasil daripada kemenangan pada perlawanan pertama.
"Saya lihat semangat rakan-rakan sepasukan pun kini sudah kembali membara selepas berjaya menewaskan Sarawak 4-1 Sabtu lalu.
"Secara peribadi, saya juga bertekad untuk mempertahankan gawang esok (malam ini) daripada dibolosi sekali gus membantu Selangor mara ke pusingan separuh akhir," ujarnya yang yakin dapat menewaskan Kuala Muda Naza malam ini.
Suffian mula dianggap sebagai penjaga gol utama Selangor selepas dia menggantikan tempat Megat Amir dalam kesebelasan utama sejak dari perlawanan pertama pusingan kedua Liga Super bertemu Perak di Ipoh pada 12 Februari lalu.
Ketangkasannya terus mendapat kepercayaan daripada Dollah untuk berada dalam kesebelasan utama.