06.05.08
Dollah terima hakikat
Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)
KETUA jurulatih Selangor, Dollah Salleh terpaksa akur dan menerima hakikat bahawa kesudahan saingan Liga Super musim ini nyata tidak memihak kepada pasukan bimbingannya itu.
Setelah hampir sepanjang musim menghuni tangga kedua, kedudukan terakhir Liga Super menyaksikan Selangor terus dirundung malang apabila sekadar menduduki tempat keempat.
Segalanya musnah buat Selangor apabila mereka tewas 0-3 kepada Negeri Sembilan Naza (NS Naza) di Stadium Shah Alam malam kelmarin tatkala Johor FC menewaskan Terengganu 2-1 untuk muncul pemenang tempat ketiga.
Menurut Dollah, kad merah yang dilayangkan kepada pemain pertahanan Selangor, P. Gunalan pada minit ke-58 selepas melakukan tindakan balas terhadap penyerang NS Naza, Mohd. Zaquan Adha Razak menjadi titik tolak kepada kekalahan mereka.
"Bagi saya, memang ia satu kesilapan yang kita lakukan. Walaupun Gunalan tak buat sesuatu, tapi cara dia (merempuh Zaquan) telah menyebabkan pengadil membuat keputusan melayangkan kad merah.
"Jelas sekali bila kekurangan seorang pemain, ia telah menyebabkan corak permainan kita terjejas," katanya ketika ditemui Kosmo!
Pengendali berusia 45 tahun itu berkata, jika Gunalan tidak dilayangkan kad merah, Selangor masih mampu menyaingi NS Naza meskipun mereka ketinggalan 0-1 pada penghujung babak pertama.
"Kita menguasai perlawanan pada separuh masa pertama tetapi tak boleh nak kata apa, kita terpaksa main 10 orang selepas itu.
"Kita sudah pamerkan yang terbaik dan akhirnya kita terpaksa terima hakikat yang Selangor bukan saja terlepas untuk jadi naib juara, malah dipintas Johor FC bagi tempat ketiga," jelasnya.
Justeru, cuti rehat selama enam minggu sebelum perlawanan separuh akhir Piala FA bertemu Terengganu pada 14 dan 17 Jun akan digunakan sepenuhnya oleh Dollah untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada.
"Saya kena fokus betul-betul dengan pasukan. Mungkin perlu juga dibuat sedikit pertukaran pemain untuk dalam kesebelasan utama.
"Bagi Piala Malaysia pula, kita ada cadangan untuk pinjam pemain dari pasukan lain terutama bagi posisi pertahanan yang masih belum cukup kukuh," ujarnya.