23.05.08
Dollah tetap kena hukum
Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)
TEKA-TEKI status rayuan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) berhubung kes empat pemainnya yang pulang lebih awal daripada menghadiri Klinik Ian Rush 26 Mac lalu akhirnya terjawab.
Denda RM20,000 kepada FAS, denda RM1,000 setiap pemain iaitu kepada Akmal Rizal Rakhli, Indra Putra Mahayuddin, Safee Sali dan Amirul Hadi Zainal serta potongan tiga mata Selangor dalam kempen Liga Super semuanya dibatalkan.
Namun jurulatih Selangor, Dollah Salleh tidak terlepas daripada dihukum apabila denda RM10,000 terhadapnya hanya dikurangkan kepada RM5,000.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad berkata, keputusan rayuan FAS itu telah diperkenan oleh Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah yang membuat pertimbangan tersebut pada 17 Mei lalu.
"Keputusan untuk meringankan hukuman tersebut telah dibuat Tuanku Sultan Ahmad Shah mengikut Perlembagaan 37 FAM iaitu kuasa-kuasa yang ada pada Presiden FAM.
"Pertimbangan ini merupakan budi bicara baginda sendiri untuk menyelesaikan isu ini," katanya kepada Kosmo! semalam.
Pada 10 April lalu, Jawatankuasa Disiplin FAM yang dipengerusikan Tan Sri Aseh Che Mat telah menjatuhkan hukuman itu dan FAS kemudiannya tampil membuat rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan FAM kerana menganggap hukuman tersebut terlalu berat.
Namun mesyuarat Jawatankuasa Rayuan FAM yang dipengerusikan Datuk Abdul Aziz Rahman pada 5 Mei lalu, iaitu sehari selepas berakhirnya saingan Liga Super telah gagal mencapai kata putus berhubung keputusan rayuan tersebut.
Jelas Azzuddin, keputusan FAM untuk meringankan hukuman tersebut adalah berdasarkan jasa dan khidmat FAS terhadap FAM sebelum ini dan bukan kerana hukuman yang dibuat Jawatankuasa Disiplin FAM itu tidak sah seperti dakwaan sesetengah pihak.
"Kita pertimbangkan dan menerima rayuan ini kerana khidmat Selangor dalam membekalkan pemain-pemain untuk skuad kebangsaan dan juga sokongan mereka terhadap penganjuran kejohanan-kejohanan oleh FAM," ujarnya.
Namun, keputusan rayuan yang diumumkan itu dianggap lewat kerana hukuman awal FAM telah menjejaskan peluang Selangor untuk sekurang-kurangnya muncul naib juara Liga Super.