23.05.08
FAM ampun Selangor
Oleh: Lokman Zainal Abidin (Harian Metro)
SELEPAS Jawatankuasa Rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) gagal membuat apa-apa keputusan membabitkan kes skuad Selangor, presiden badan induk kebangsaan itu, Sultan Ahmad Shah terpaksa campur tangan untuk menjernihkan keadaan.
Berpegang kepada Artikel 37 Perlembagaan FAM di bawah tajuk kuasa-kuasa khas presiden, Sultan Ahmad Shah memutuskan bahawa denda sebanyak RM20,000 yang dikenakan terhadap Selangor dibatalkan.
Berdasarkan kepada peruntukan itu juga, tiga mata yang sebelum ini menjadi taruhan tidak dipotong manakala denda terhadap jurulatih, Dollah Salleh dikurangkan kepada RM5,000 dan ketiga-tiga pemain iaitu Mohd Safee Sali, Indra Putra Mahayuddin dan Amirul Hadi Zainal tidak akan dikenakan sebarang denda.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad ketika mengesahkan perkara itu berkata, surat memaklumkan keputusan Sultan Ahmad Shah itu sudah dikirimkan kepada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), kelmarin.
“Kita sudah menghantar surat kepada FAS semalam (kelmarin). Secara lisan, keputusan itu berkuatkuasa serta-merta dan secara rasminya, ia berkuatkuasa semalam.
“Tuanku membuat keputusan itu ketika mesyuarat exco yang berlangsung 17 Mei lalu dan keputusan itu dibuat mengikut perlembagaan FAM,” kata Azzuddin.
Bulan lalu, Jawatankuasa Tatatertib FAM mengenakan hukuman denda RM20,000 dan dipotong tiga mata terhadap FAS manakala Dollah dikenakan denda RM10,000 dan ketiga-tiga pemain terbabit dikenakan denda RM1,000 setiap seorang selepas didapati bersalah meninggalkan klinik penyerang kendalian Ian Rush.
Selangor mengemukakan rayuan pada 26 April lalu dengan alasan bahawa klinik yang diadakan itu bukanlah kem latihan pusat selain menganggap hukuman yang dikenakan itu tidak setimpal sama sekali.
Bagaimanapun, persoalan paling menarik yang timbul ialah sejauh mana hukuman itu boleh dianggap sah sedangkan pelantikan ahli jawatankuasa terbabit dikatakan tidak mengikut perlembagaan.
Justeru, campur tangan Sultan Ahmad Shah dalam kes rayuan skuad Selangor membuktikan bahawa secara diam-diam, FAM sebenarnya mengakui kesilapan mereka berhubung pelantikan ahli jawatankuasa disiplin yang tidak mengikut perlembagaan.