27.05.08
Nazrul sertai Selangor
Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)
NAZRUL ERWAN MAKMOR kembali ke pangkuan skuad Selangor.
Dia akan tampil bersama skuad yang mendapat jolokan Red Giants itu pada kempen bola sepak Piala Malaysia bermula 11 Jun depan.
Nazrul, 28, yang membantu KL Plus FC muncul naib juara Liga Perdana musim ini dipinjamkan oleh Selangor bagi memantapkan benteng pertahanan setelah KL Plus FC tidak beraksi dalam Piala Malaysia.
"Gembira rasanya apabila dapat kembali beraksi dengan Selangor biarpun hanya sebagai pemain pinjaman. Piala Malaysia ini auranya cukup berbeza buat Selangor.
"Rasanya tiada masalah untuk saya membentuk keserasian kerana pernah beraksi bersama sebelum ini. Cuma kami perlu perkemaskan lagi kombinasi pasukan," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Kehadiran kapten pasukan KL Plus itu pasti memberi khabar gembira buat penyokong Selangor kerana barisan pertahanan mereka sepanjang musim ini dilihat agak goyah dan bermasalah.
"Dengan pengalaman yang ada, saya akan berusaha membentuk gandingan mantap di barisan pertahanan supaya kejayaan Selangor menjulang Piala Malaysia pada 2005 dapat diulangi," ujar Nazrul.
Namun, menjelang dua minggu sebelum aksi sulung bertemu Terengganu, sesi latihan Selangor agak terjejas kerana lapan pemainnya menyertai Sukan Malaysia (Sukma) XII manakala enam lagi pemain menyertai latihan pusat skuad kebangsaan.
"Buat masa ini, kami dari skuad utama berlatih bersama pemain skuad Piala Presiden sehinggalah pemain-pemain Sukma dan pelatih skuad kebangsaan kembali menyertai latihan pasukan," jelasnya.
Bagi saingan Piala Malaysia nanti, Selangor diundi dalam Kumpulan A bersama Terengganu, Negeri Sembilan Naza, Sarawak, Kelantan dan Melaka.