Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
01.05.08

Rayuan FAS diketahui 5 Mei

Oleh: Lokman Zainal Abidin (HARIAN METRO)

DITERIMA atau tidak? Itulah persoalan berlegar di fikiran pegawai Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menjelang sidang Jawatankuasa Rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang bakal membincangkan kes mereka, Isnin depan.

Jika berjaya, FAS tidak akan kehilangan tiga mata yang dianggap paling berharga bagi menentukan kedudukan skuad Gergasi Merah pada saingan Liga Super musim ini.

Selain itu, kantung FAS juga bakal selamat kerana FAS dikenakan denda RM20,000 selepas didapati bersalah atas kes empat penyerang mereka yang didakwa lari daripada klinik penyerang kebangsaan.

Jawatankuasa Rayuan FAM yang dipengerusikan Datuk Abdul Aziz Rahman menetapkan 5 Mei ini sebagai tarikh untuk membincangkan kes rayuan FAS.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad mengesahkan tarikh berkenaan.

"Kita tetapkan jam 3 petang, 5 Mei ini sebagai tarikh untuk membincangkan kes rayuan FAS," katanya.