02.05.08
Selangor dapat sentuhan Dollah
Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)
SKUAD bola sepak Selangor yang akan beraksi pada Sukan Malaysia (Sukma) XII di Terengganu hujung bulan ini bakal mendapat sentuhan ketua jurulatih skuad Liga Super Selangor, Dollah Salleh.
Menurut Setiausaha Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Hamidin Mohd. Amin, pemilihan Dollah sebagai jurulatih skuad Sukma itu dibuat memandangkan hampir separuh pemain dalam pasukan berkenaan adalah daripada skuad Liga Super.
"Skuad Sukma Selangor menggabungkan pemain-pemain bawah 23 daripada tiga pasukan iaitu skuad Liga Super Selangor, skuad Liga Perdana PKNS dan skuad Piala Presiden Selangor.
"Tapi majoritinya dari skuad Liga Super," kata Hamidin ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Hamidin memberitahu, dia sendiri akan bertindak sebagai pengurus skuad Sukma Selangor sementara Dollah pula akan dibantu bekas jurulatih skuad Piala Presiden Selangor, Abdul Talib Sulaiman.
"Seramai 18 pemain akan dipilih untuk senarai akhir. Latihan pusat akan dimulakan hujung minggu depan selepas tamatnya saingan Liga Super Ahad ini," ujarnya.
Ditanya tentang sasaran pada temasya Sukma, Hamidin berhasrat menyaksikan pasukannya mara ke perlawanan akhir, sekali gus merangkul pingat emas.
"Kali terakhir kita dapat emas dalam acara bola sepak pada Sukma 1998 di Selangor. Selepas 10 tahun berlalu, saya harap Selangor dapat kembali mencipta kejayaan pada temasya kali ini," jelasnya.
Selangor diundi berada dalam Kumpulan B bersama naib juara Sukma 2006, Kedah selain Kelantan dan Sabah pada saingan yang akan bermula 28 Mei ini.
Jelas Hamidin, empat pemain iaitu Amirul Hadi Zainal, Safiq Rahim, Nasriq Baharom dan Asraruddin Putra Omar yang terpilih mewakili skuad kebangsaan pada kempen Piala Antara Benua akan tetap membarisi skuad Sukma Selangor.
Acara bola sepak pada Sukma 2008 dijangka lebih menarik kerana kebanyakan pemain bawah 23 dari pasukan-pasukan Liga Super akan turun beraksi berbanding edisi sebelum ini yang hanya melibatkan pemain bawah 21 .