Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
31.05.08

Sukma: 'Pengintip' Selangor intai persiapan lawan

Oleh: UTUSAN MALAYSIA

KUALA TERENGGANU - Selangor menepati ramalan mara awal ke suku akhir dalam Kumpulan B acara bola sepak pada Sukan Malaysia ke-12 (Sukma XII) apabila menewaskan Sabah 2-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah semalam.

Jaringan Wan Md. Hoesni minit ke-44 dan Md. Alafi Mahmud minit ke-71 turut menamatkan badi Selangor yang gagal melepasi saingan peringkat kumpulan pada temasya Sukma XI di Kedah (2006).

Sementara itu Kedah turut mengesahkan kemaraan ke suku akhir dalam kumpulan yang sama selepas menewaskan Kelantan 2-1 di Kompleks Sukan Negeri Gong Badak.

Selangor dan Kedah akan berentap esok bagi penentuan juara kumpulan.

Kejayaan melepasi halangan pertama semalam menceriakan kem Selangor yang menyasarkan aksi final Sukma kali ini dan bagi pengurus pasukan Hamidin Mohd. Amin, persembahan para pemain lebih menyengat berbanding ketika menewaskan Kelantan 3-0 pada perlawanan pertama Rabu lalu.

Menurutnya, kegembiraan melepasi halangan pertama mahu dilupakan bagi memberi tumpuan persediaan untuk perlawanan suku akhir menentang sama ada Negeri Sembilan atau Kuala Lumpur.

Katanya, segala percaturan sedang dirangka bagi memastikan halangan di suku akhir dilepasi dengan sempurna.

''Kita masih ada dua halangan yang perlu dilepasi iaitu di peringkat suku akhir dan separuh akhir bagi mencapai matlamat ke pentas final.

''Kini tumpuan adalah perlawanan di suku akhir di mana kita akan memastikan strategik yang sebaik mungkin untuk menang.

''Kita tiada pilihan selain menang di suku akhir tanpa mengira siapa lawan kita," katanya selepas perlawanan semalam.

Bagi memastikan laluan Selangor tidak terkandas di suku akhir, Hamidin berkata, Selangor menghantar 'pengintip' bagi menilai kekuatan lawan iaitu juara Sukma 2004, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.

''Kita akan menilai kekuatan dan kelemahan pasukan yang bakal menjadi lawan kita di suku akhir kelak," katanya.

Mengenai perlawanan terakhir menentang Kedah, Hamidin menjelaskan, Selangor sedang membuat penilaian sama ada akan menurunkan barisan terkuat atau sebaliknya.

''Setakat ini kita belum memikirkan sama ada akan menurunkan kesebelasan utama apabila menentang Kedah kerana tumpuan kita lebih kepada persediaan untuk perlawanan suku akhir," jelasnya.