28.05.08
Sukma: Selangor 3-0 Kelantan
Oleh: SELANGORFC.COM
SELANGOR berjaya memulakan langkah kanan dalam acara bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) 2008 apabila menewaskan Kelantan 3-0 di Padang B, Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu petang tadi.
Pada aksi sulung Kumpulan B itu, Selangor mendahului 1-0 pada babak pertama menerusi tandukan pemain sayap, Mohd. Fitri Shazwan Raduwan pada minit ke-40.
Separuh masa kedua bermula, Selangor terus garang dengan menambah dua lagi jaringan sumbangan ketua pasukan, Mohd. Zaiza Zainal Abidin (m-51) dan penyerang Alafi Mahmud (m-65) untuk memastikan kemenangan bergaya 3-0.
Pada satu lagi perlawanan di Padang A, naib juara Sukma 2006, Kedah mencatat kemenangan tipis 3-2 ke atas Sabah, dua daripada jaringan Kedah menerusi Bunyamin Umar.
Perlawanan seterusnya bagi Kumpulan B menyaksikan Selangor akan bertemu Sabah manakala Kedah bertemu Kelantan, kedua-duanya akan berlangsung pada pukul 8 pagi Jumaat ini.