28.05.08
Sukma: Selangor intai kemenangan
Oleh: UTUSAN MALAYSIA
KUALA LUMPUR - Tiga hari menjelang perasmian Sukan Malaysia (Sukma) Ke-12 Sabtu ini, acara bola sepak memulakan saingan dengan perlawanan melibatkan Selangor-Kelantan dan penyandang juara, Terengganu menentang Perak bakal menjadi perlawanan tumpuan hari ini.
Selangor yang menyasarkan mara ke final pada temasya sukan kali ini bertekad untuk membenam Kelantan dalam usaha mencerahkan peluang mara ke peringkat seterusnya.
Pengurus Selangor, Hamidin Mohd Amin berkata, Selangor bakal turun pada perlawanan pertama di Padang B Kompleks Sukan Negeri Gong Badak (KSGB), Kuala Terengganu, hari ini dengan semangat tinggi.
Menurutnya, Selangor tiada pilihan selain meraih tiga mata penuh hari ini bagi merealisasikan sasaran ke final selepas sepuluh tahun tidak menjulang kejuaraan bola sepak di Sukma.
''Perlawanan pertama hari ini cukup penting bagi Selangor kerana hanya dengan kemenangan kita dapat memastikan laluan kita ke peringkat seterusnya tidak berdepan masalah.
''Selangor sudah bersedia untuk perlawanan esok (hari ini) dan kita akan memastikan semua pemain beraksi bersungguh-sungguh untuk mencapai kemenangan," katanya ketika dihubungi.
Kali terakhir Selangor memenangi emas ialah pada Sukma Selangor 1998 dan selepas itu, skuad tersebut tidak pernah mara ke final dan sering terkandas di peringkat kumpulan dengan pencapaian terbaik mara ke separuh akhir Sukma di Negeri Sembilan pada 2004.
Hamidin menambah sasaran ke final pada kejohanan kali ini bakal direalisasikan dengan kehadiran sembilan pemain Liga Super, empat pemain Liga Perdana PKNS dan empat pemain Piala Presiden.
Selangor diperkuatkan dengan tiga pemain kebangsaan yang beraksi baik dalam Piala Antara Benua iaitu Mohd. Asrarudin Putra Omar, Safiq Rahim dan Mohd. Nasriq Baharom.
''Selangor turut mendapat sentuhan jurulatih Liga Super Selangor, Dollah Salleh. Pengalaman Dollah bukan sekadar memberi tunjuk ajar kepada pasukan tetapi ia turut menyuntik semangat pemain.
''Kita sudah bersedia untuk memberikan yang terbaik selepas persiapan rapi sejak Disember lalu termasuk mengadakan beberapa perlawanan persahabatan," katanya.