Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
29.05.08

Sukma: Selangor lepas halangan awal

Oleh: UTUSAN MALAYSIA

KUALA TERENGGANU - Selangor menepati status pasukan pilihan apabila mudah menewaskan Kelantan 3-0 dalam acara bola sepak Sukan Malaysia Ke-12 (Sukma XII) di sini, semalam.

Sebaliknya penyandang juara yang juga tuan rumah, Terengganu dan naib juara Sukma lalu, Kedah cemas sebelum menang tipis ke atas lawan masing-masing.

Terengganu menewaskan Perak manakala Kedah membenam Sabah masing-masing dengan keputusan 3-2.

Selangor yang dibarisi sembilan pemain Liga Super dan mendapat sentuhan jurulatih Dollah Salleh, ternyata bukan tandingan Kelantan yang hanya menurunkan skuad Bawah 21 Tahun.

Begitupun Selangor mengambil masa untuk menyesuaikan keadaan padang baru di Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, terpaksa menunggu hingga ke minit 40 untuk menemui sentuhan gol menerusi Mohd. Fitri Shazwan.

Selangor yang menyasarkan tempat ke final setelah sepuluh tahun kempunan emas menguasai babak kedua dengan jaringan Md. Zaiza Zainal Abidin minit ke-51 dan Md. Alati Mahmud minit ke-65 mengesahkan kemenangan selesa Selangor.

Pengurus Selangor, Hamidin Mohd. Amin berkata, beliau gembira kerana berjaya mencapai sasaran mencatat kemenangan perlawanan pertama semalam.

Katanya, kemenangan itu penting bagi memastikan laluan Selangor ke suku akhir, iaitu sasaran awal yang perlu dilepasi, tidak berdepan halangan.

''Begitupun perjalanan kita masih jauh kerana masih banyak halangan yang bakal kita lalui selepas ini. Cuma kemenangan ini menyuntik semangat para pemain dan kita tidak akan mudah berpuas hati dengan kejayaan ini sebaliknya akan memantapkan pasukan dan strategi," katanya.

Selangor diperkuatkan dengan tiga pemain kebangsaan yang beraksi baik dalam Piala Antara Benua iaitu Mohd. Asrarudin Putra Omar, Safiq Rahim dan Mohd. Nasriq Baharom.

Tambah Hamidin, untuk perlawanan dengan Sabah, esok, Selangor tetap memandang serius walaupun pasukan dari Malaysia Timur itu tewas 2-3 kepada Kedah semalam.

''Saya sentiasa mengingatkan pemain bahawa semua pasukan adalah sama dan jangan sesekali memandang rendah kemampuan lawan," jelasnya.

Sementara itu, jurulatih Kelantan, Azman Yusof berkata, Selangor ternyata bukan tandingan pasukannya yang hanya menurunkan skuad Bawah 21 Tahun.

Menurutnya, Kelantan tidak mempunyai sasaran di kejohanan kali ini dan akur dengan kekalahan tersebut.

''Pengalaman membezakan di antara pemain Selangor dan Kelantan. Selangor menguasai setiap sudut padang dan kami hanya mampu bertahan sehingga minit ke-40 sebelum permainan kami mula tidak menentu," katanya.