Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
28.05.08

Sukma: Selangor mahu langkah kanan

Oleh: Wan Fakhrul Bakar (KOSMO!), Gambar: Osman Adnan (SFC)

SELANGOR mahu bermula dengan langkah kanan apabila turun bertemu Kelantan pada aksi sulung acara bola sepak bagi Kumpulan B pada Sukan Malaysia (Sukma) XII di Terengganu petang ini.

Ketua pasukan Selangor, Mohd. Zaiza Zainal Abidin berkata, kemenangan ke atas Kelantan dianggap penting bagi memastikan mereka berjaya menduduki dua tangga teratas kumpulan.

"Perlawanan pertama ini bakal jadi penentu hala tuju kami dalam Sukma kali ini. Kami tiada pilihan kecuali beraksi bersungguh-sungguh untuk mendapatkan tiga mata penuh," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Anak kepada legenda bola sepak negara, Zainal Abidin Hassan itu memberitahu, dia bakal menggalas tugas mengemudi benteng pertahanan tengah Selangor bersama pemain bawah 23 tahun kebangsaan, Mohd. Nasriq Baharom.

"Bagi kebanyakan pemain, ini pertama kali kami beraksi pada Sukma. Jadi peluang ini akan digunakan sepenuhnya untuk mencatat kejayaan," jelas pemain berusia 22 tahun itu.

Ditanya sasaran pihak pengurusan Selangor yang mahu mereka sekurang-kurangnya mara ke perlawanan akhir pada 8 Jun depan bagi mendapatkan pingat emas, Zaiza berkata, ia sesuatu yang tidak mustahil untuk direalisasikan.

"Apa yang penting, kita kena beri tumpuan pada tiga aksi kumpulan terlebih dahulu. Dengan barisan pemain yang ada ini saya yakin kita mampu memenangi setiap perlawanan satu demi satu," katanya.

Skuad 18 pemain Selangor yang dilatih Dollah Salleh dan dibantu Talib Sulaiman itu membariskan lapan pemain Liga Super, empat pemain Piala Presiden serta lima pemain skuad Liga Perdana PKNS dan seorang pemain skuad Liga Super PDRM.

Bagi Kumpulan B, aksi Selangor-Kelantan akan berlangsung di Padang B, Kompleks Sukan Gong Badak bermula pukul 4.45 petang ini sementara Kedah pula menentang Sabah di Padang A pada waktu yang sama.